PETALING JAYA – Haily Group Bhd. (Haily) menyasarkan untuk meraih hasil sebanyak RM20.4 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia menerusi tawaran awam permulaan (IPO) akan datang.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, cadangan penyenaraian itu penting untuk mengukuhkan kedudukan selain meningkatkan reputasi Kumpulan dalam pasaran perkhidmatan pembinaan serta meluaskan asas pelanggannya di negara ini.
“Kami amat teruja untuk memberi peluang kepada pelabur dan institusi untuk mengambil bahagian dalam ekuiti dan pertumbuhan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran prospektus sempena cadangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia secara maya semalam.
Haily merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah selatan Semenanjung, khususnya di negeri Johor.
Selain itu, Kumpulan tersebut juga terlibat dalam penyediaan sewaan mesin pembinaan.
IPO itu melibatkan 30 juta saham terbitan awam pada harga 68 sen sesaham dengan 8.92 juta saham ditawarkan kepada orang ramai, 10 juta saham kepada pengarah, pekerja yang layak dan individu yang menyumbang kepada kejayaan Kumpulan dan 11.08 juta saham lagi kepada pelabur terpilih.
Tin Hai menjelaskan, daripada jangkaan hasil RM20.4 juta itu, Haily merancang untuk menggunakan RM4.20 juta untuk perbelanjaan modal, RM6 juta untuk modal kerja, RM7 juta membayar balik pinjaman bank dan baki RM3.2 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Kumpulan optimis terhadap perkembangan ekonomi negara yang dijangka bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.
Tambah beliau, ia dipacu oleh peningkatan pertumbuhan global, kitaran teknologi serta dagangan dan projek infrastruktur berskala besar yang akan datang serta langkah-langkah rangsangan ekonomi.
“Pertumbuhan sektor kediaman dan perindustrian di daerah lain di Johor juga menyediakan peluang kepada Kumpulan dan kami telah memperoleh kontrak terjamin dan belum dimuktamadkan untuk menampung pengoperasian kami bagi menempuh cabaran jangka pendek ekoran pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah beliau, Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan yang sedang berjalan dan dua projek berkaitan kejuruteraan awam.
Projek berkenaan melibatkan jumlah nilai kontrak terjamin dan nilai kontrak belum dimuktamadkan masing-masing ialah RM460.04 juta dan RM249.58 juta.