fbpx

Jacobabad lokasi paling panas dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk tempatan berendam di dalam kolam bersama kerbau untuk menyejukkan badan . – EPA

ISLAMABAD, PAKISTAN – Sebuah bandar di Pakistan dinamakan sebagai lokasi paling panas di dunia apabila mencatatkan suhu mencecah 52 darjah Celcius, lapor akhbar The Sun, kelmarin.

Bandar Jacobabad yang terletak wilayah Sindh, dilaporkan memiliki tahap kepanasan ekstrem sekali gus melebihi kemampuan yang boleh dihadapi oleh tubuh manusia.

Bagaimanapun, kebanyakan rumah di situ tidak mempunyai pendingin hawa, malah lantai juga menjadi terlalu panas untuk dipijak.

Pakar-pakar kesihatan dalam satu kenyataan kepada akhbar The Telegraph berkata, suhu di Jacobabad mampu meningkat sehingga 52 darjah Celcius dan boleh membahayakan nyawa manusia.

Sebilangan penduduk yang cukup bernasib baik, mampu memiliki pendingin hawa pula terpaksa berdepan insiden litar pintas yang kerap menjadikan alat penyejuk itu tidak begitu membantu.

Seorang penduduk tempatan, Abdul Baqi memberitahu, apabila suhu terlalu panas, mereka tidak mampu untuk berdiri.

“Ini adalah masa yang sangat sukar ketika suhu melebihi 50 darjah Celcius. Orang tidak keluar dari rumah dan semua jalan menjadi lengang,” katanya.

Campuran cuaca panas dan lembab menjadikan Jacobabad salah satu dari dua tempat di Bumi yang secara rasminya mencatat bacaan suhu panas melepasi paras yang boleh diterima oleh tubuh manusia.

Untuk mengatasi masalah ini, bazar tempatan banyak menjual ais, kipas angin dan alat penyejuk udara berkualiti rendah yang mengeluarkan angin yang menyegarkan.

Selain itu, antara alternatif lain penduduk untuk menyejukkan badan adalah dengan berendam dalam kolam bersama kerbau peliharaan mereka.

“Penduduk di sini sudah terbiasa dengan suhu sebegini sehingga badan mereka telah membangunkan sistem ketahanan khas berdepan cuaca panas melampau,” kata seorang pegawai tempatan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI