fbpx

Seo In-guk ‘si peluruh jiwa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEO IN-GUK

MUNGKIN tidak ramai dalam kalangan penggemar K-drama yang mengenali lelaki bernama Seo In-guk ini, popularitinya juga tidaklah setanding aktor kelas A lain.

Bagaimanapun, bagi peminat yang sudah mula mengikuti perkembangan kariernya sejak memulakan debut drama pada 2012, aktor berusia 34 tahun itu cukup terkenal dengan auranya yang tersendiri.

Lelaki berketinggian 180 sentimeter (sm) itu kali terakhir muncul menerusi naskhah The Smile Has Left Your Eyes, dua tahun lalu.

Terkini, dia baru sahaja memukau ramai menerusi drama fantasi romantik berjudul One Day Destruction Entered the Front Door of My House atau judul popularnya, Doom At Your Service (DAYS) yang sudah menamatkan siaran pada Selasa lalu.

Menerusi naskhah hasil tulisan Im Mea-ri tersebut, In-guk memegang watak sebagai Myul Mang. Nama tersebut diambil daripada perkataan Korea, ‘myeolmang’ bermaksud kehancuran iaitu utusan antara manusia dan Tuhan.

Bukan manusia ataupun dewa, sebaliknya Myul Mang merupakan kehancuran atau kebinasaan yang lahir di antara kegelapan dan cahaya.

KEHIDUPAN In-guk sebenarnya cukup sukar. Dia dibesarkan oleh bapa yang bekerja sebagai tukang kimpal, manakala ibunya pula mengutip kotak dan barangan terpakai.

Jika dia bernafas, seluruh dunia ghaib. Ketika dia berjalan, musim akan berakhir dan jika dia senyum, maka kehidupan akan hancur.

Kewujudannya hanya untuk sesuatu yang sedang menunggu kehancuran termasuk kematian seperti yang sedang dilalui seorang wanita bernama Tak Dong-kyung lakonan Park Bo-young.

Dong-kyung hanya mempunyai 100 hari untuk hidup selepas disahkan menghidap kanser otak.

“Dalam DAYS, saya memberi fokus terhadap pendedahan pesona karakter Myul Mang yang tidak pernah dilihat penonton sebelum ini.

“Dia bertanggungjawab atas semua perkara yang hilang dan hancur. Walaupun Myul Mang sepatutnya menjadi seorang yang menarik dan berkarismatik, namun pengarah meminta saya memberi fokus terhadap kesedihan yang mengekorinya selama ini,” katanya.

Dilahirkan tanpa emosi, tidak tidur bahkan makan, Myul Mang juga tidak mampu mendakap manisnya cinta sehingga satu hari dia menyedari perasaan tersebut terhadap Dong-kyung.

Kehadirannya menakutkan dan menjadi pemusnah atas semua benda yang ada di muka bumi, maka sikapnya dalam drama berkenaan dipotretkan sebagai makhluk yang sangat dingin.

Namun, apa yang digambarkan lelaki kelahiran Ulsan itu jauh berbeza dengan sikap dan perwatakan sebenarnya ketika di set penggambaran.
Bo-young sendiri dalam satu wawancara menyifatkan, pengalaman tersebut sebagai kali pertama digandingkan dengan pasangan pelakon yang ceria dan ‘banyak bermain’, sama seperti yang dilihat peminat menerusi gambar di sebalik tabir.

PERNAH menjalin cinta dengan seorang pelakon, In-guk yang kini solo menyatakan kesediaan untuk kembali bercinta seandainya bertemu dengan wanita tepat untuknya.

Kekurangan diri

In-guk disifatkan sebagai seorang lelaki yang sarat dengan pesona dan aura menawan, bukan sahaja rupa paras tetapi perkara paling mencuri tumpuan datangnya daripada sepasang mata lelaki itu.

Renungan mata yang tajam dan ‘dalam’ acap kali menjayakan babak emosi, dingin dan amarah dalam DAYS mencungkil rasa getar dalam jiwa penonton. Rata-rata meletakkan aura terhebat milik In-guk terletak pada bahagian matanya.

Ramai yang terpesona dengan tahi lalat pada bahagian bawah mata kirinya, namun empunya badan pula berpendapat sebaliknya.

“Ramai yang kata tahi lalat bawah mata saya sangat menawan. Tetapi sebenarnya, saya rasa daya tarikan saya ialah lesung pipit kecil pada bahagian bawah pipi kanan.

“Tahi lalat memang ada di situ dan sentiasa nampak, tetapi lesung pipit ini hanya akan nampak kalau saya senyum. Jadi terpulang kepada anda untuk membuat penilaian,” selorohnya.

Di sebalik segudang pesona yang dimiliki, In-guk bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza tentang visual sendiri kerana berasakan memiliki wajah pelik.

Saat muncul pada sidang media filem terbaharu lakonannya berjudul Pipeline yang sudah menjengah pawagam sejak 26 Mac lalu, pengarahnya, Yoo Ha berkata, dia tertarik dengan aura dimiliki In-guk meskipun mengakui aktor itu tidaklah mempunyai daya pesona yang konvensional.

“Sejujurnya saya memang berasakan wajah sendiri agak pelik. Ada masanya saya nampak kacak tetapi kadangkala saya hodoh.

“Saya rasa apa yang dimaksudkan pengarah itu, saya ada visual yang pelik. Tetapi, dia juga kata bahagian mata dan aura saya sebenarnya menjadi daya penarik. Saya sangat berterima kasih atas pujian itu,” ujarnya.

Siapa In-guk pada hari ini, wajah kacak dan pesona yang memukau itu dibayar dengan harga yang cukup perit kerana pernah bergelut dengan masalah bulimia.

TIDAK keterlaluan jika dikatakan In-guk merupakan pelakon yang kurang popular sebelum ini, namun sejak drama DAYS ditayangkan, popularitinya kian bercambah, sekali gus mencatat banyak penambahan bilangan pengikut dalam Instagram.

Penolakan

Dalam satu temu bual pada 2012, lelaki itu mendedahkan dia mula berdepan penyakit yang merupakan sejenis gangguan pemakanan tersebut sejak menyertai sesi uji bakat di agensi JYP Entertainment beberapa tahun sebelum itu.

Katanya, juri yang mengadilinya memberi ‘amaran’ terhadap fizikalnya yang pada ketika itu berbadan gempal.

“Mereka kata saya perlu turunkan berat badan. Sejak itu, saya jadi obses untuk melakukannya. Saya kerap memuntahkan kembali makanan setiap kali selepas makan.

“Tetapi selepas berjaya turunkan berat badan, saya kembali ke sana untuk sertai uji bakat lain tetapi tetap ditolak. Mereka kata, nyanyian saya teruk. Mungkin vokal saya terkesan akibat kerap muntah,” dedahnya.

Perjalanan berliku In-guk bagaimanapun berbayar selepas dia kemudian dijulang sebagai juara program realiti Superstar K pada 2009.

In-guk kemudian memulakan debut lakonan pada 2012 menerusi drama Reply 1997 meminjamkan vokalnya untuk dua buah runut bunyi naskhah berkenaan iaitu All For You dan Just The Way We Love, kedua-duanya merupakan lagu duet bersama Jung Eun-ji.

Bahkan suara merdunya turut mengisi ruang drama lakonannya bersama Nam Ji-hyun (Shopping King Louie) pada 2016 apabila menyanyikan semula lagu This Is The Moment yang merupakan ciptaan asal Frank Wildhorn dan Leslie Bricusse dalam bahasa Inggeris.

FAKTA tentang In-guk, selain bergelar pelakon, dia yang merupakan penyanyi dan penulis lirik sangat fasih menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris.

Nyanyian

Selain faktor pelakon utama dan jalan cerita menarik, naskhah DAYS juga dipuji kerana meletakkan semua runut bunyi asli (OST) terbaik yang dinyanyikan oleh barisan penyanyi terkenal.

Runut bunyi untuk pembukaan drama berkenaan menyaksikan suara merdu Ailee dipinjamkan untuk lagu berjudul Breaking Down, disusuli dengan Love Sight daripada kumpulan TXT untuk bahagian pertama dan kedua.

Untuk bahagian ketiga dan keempat pula, drama berkenaan menampilkan penyanyi terkenal daripada kumpulan EXO iaitu Baekhyun dengan lagunya U, diikuti dengan ratu OST Gummy (I Wanna Be With You).

Bagi bahagian kelima dan keenam pula menyaksikan persembahan daripada kumpulan Davichi (All Of My Love) dan Sondia untuk lagunya This Is Love mewarnai jalan cerita DAYS.

Hati peminat tidak berhenti berbunga-bunga apabila In-guk sendiri tampil menyanyikan lagu OST yang berjudul Distant Fate untuk bahagian ketujuh.

Lagu yang mendapat sentuhan daripada aktor itu sendiri cukup sarat dengan emosi duka kerana karya itu merupakan luahan hati dan perasaan cinta Myul Mang terhadap Dong-kyung.

Senarai tersebut menjadikan DAYS diangkat peminat selaku drama terbaik bagi tahun ini, mengambil kira jalan cerita, barisan penyanyi OST dan juga lakonan berkualiti daripada In-guk dan Bo-young.

Penampilan pelakon yang terkenal dengan gelaran master of kissing oleh peminat K-drama itu menerusi Distant Fate sekali gus menyaksikan lagu tersebut merupakan buah tangan terbaharunya selepas tiga tahun sepi tanpa sebarang lagu terkini.

Akan datang, peminat sedia ada dan pastinya yang baru mengenali lelaki itu menerusi DAYS mengharapkan lebih banyak karya baik lakonan mahupun nyanyian daripadanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI