PETALING JAYA – Video berdurasi 20 saat yang tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu mengenai pasangan remaja bercinta secara jarak jauh mengeletek hati warganet.
Video yang tidak dinyatakan lokasi sebenar itu menunjukkan pasangan remaja yang sedang bercinta menunaikan solat bersama secara dalam talian.
Paparan menunjukkan pasangan tersebut solat bersama dengan meletak telefon masing-masing di hadapan dengan membiarkan panggilan video dilakukan.
Pasangan tersebut turut bersalaman selepas sahaja selesai menunaikan solat.
Video itu berlatar belakang lagu tema telefilem terkenal dari Indonesia, Ketika Cinta Bertasbih nyanyian Melly Goslow.
Seorang netizen, Zainorhisyam berkata, pasangan ini akan membuatkan orang dewasa yang tidak mempunyai pasangan menyesal sepanjang hayat.
“Tengok pasangan budak ni romantik betul, siapa yang tiada pasangan lagi akan menyesal seumur hidup.
“Ini bukan Ketika Cinta Bertasbih ni, ini nak kena libas dengan tasbih koka kejap lagi ni,” jelasnya.
Seorang lagi netizen, Faizal Nazreen pula berkata, harap pasangan ini bahagia dan keimanan mereka berdua kekal ke akhir hayat.
“Tengok kepada keimanan mereka berdua, aku rasa sebak dada. Adakah ini cinta sejati yang manusia kejarkan selama ini,” katanya.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929