PETALING JAYA – Penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee bercadang menutup karier beraksi dalam Sukan Olimpik dengan membawa pulang pingat pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Mun Yee berharap penganjuran kali ini mampu menjadi pengubat duka selepas pulang dengan tangan kosong dalam empat penyertaan terdahulu iaitu edisi 2000 di Sydney, Australia; 2004 di Athens, Greece; 2008 di Beijing, China dan 2012 di London.
“Sasaran utama saya setiap kali beraksi dalam mana-mana kejohanan termasuk Olimpik adalah meraih pingat. Ia bukan senang sebenarnya.
“Ini adalah Olimpik terakhir. Saya harap gandingan bersama Pandelela (Rinong) kali ini dapat memenangi pingat,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.
Mun Yee, 36, akan turun bersama Pandelela dalam acara 10 meter (m) platform seirama yang dijadualkan berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo pada 27 Julai ini.
Sementara itu, jurulatih skuad terjun negara, Li Rui menjelaskan, persediaan anak-anak buahnya menghadapi Olimpik Tokyo kini berada pada tahap terbaik.
Beliau juga percaya Mun Yee dan Pandelela mampu menghadiahkan kalungan pingat buat kontinjen negara mengulangi pencapaian dilakukan Pandelela-Cheong Jun Hoong yang meraih pingat perak pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. – K! ONLINE