GLASGOW – Ketua jurulatih Sweden, Janne Andersson enggan menjadikan pemain pertahanan, Marcus Danielson sebagai ‘kambing hitam’ selepas mereka tersingkir daripada saingan Euro 2020.
Sweden tewas 1-2 kepada Ukraine pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Hampden Park awal pagi semalam, sekali gus menjadi antara pasukan besar yang pulang awal.
Danielson dianggap menjadi punca kekalahan pasukan apabila dia dilayangkan kad merah pada masa tambahan selepas melakukan terjahan keras ke atas Artem Bisiedin.
“Saya hanya memeluk dia (Danielson) ketika perlawanan tamat. Ini adalah pengalaman paling buruk pernah saya lalui sejak menceburkan diri dalam bola sepak.
“Semua orang boleh nampak kami adalah pasukan lebih baik pada perlawanan ini. Bagaimanapun, selepas layangan kad merah itu, segalanya berubah dan sukar untuk kami,” kata Andersson.
Sementara itu, pemain tengah Sweden, Emile Forsberg mengakui suasana bilik persalinan muram dan dipenuhi tangisan pemain-pemain yang cukup kecewa dengan kekalahan menyakitkan itu.
“Anda tidak boleh bayangkan suasana bilik persalinan kami yang cukup menyedihkan. Semua pemain sangat kecewa kerana kami datang dengan tujuan berbeza, namun inilah bola sepak,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, Ukraine menjaringkan dua gol menerusi Oleksandr Zinchenko dan Artem Dovbyk manakala gol tunggal Sweden pula hadir menerusi Forsberg. – AGENSI