SELAYANG – Perbuatan seorang amah warga Indonesia mencuri barang kemas dan mengacu pisau kepada majikannya berbalas apabila dia dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap Supriani, 41, selepas wanita itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Wanita asing itu didakwa dengan niat jahat mencuri gelang tangan dan cincin emas bernilai RM3,000 milik Mohd. Izzuddin Makhtar.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Gombak di sini pukul 10 malam, 25 Jun lalu di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, Supriani didakwa menakutkan Mohd. Izzudin dengan cara mengacukan pisau kepada mangsa pada waktu, tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Untuk pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 manakala pertuduhan kedua pula, hukuman penjara empat bulan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 Jun lalu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, majikan bertanya kepada tertuduh mengenai kehilangan gelang dan cincin emas yang kemudiannya ditemui dalam beg pakaian tertuduh.
Tidak mengaku atas perbuatan tersebut, tertuduh kemudian mengambil pisau di dapur dan mengacukannya ke arah pengadu.
Mangsa dan keluarga yang ketakutan kemudian menghubungi pihak polis. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929