fbpx

Apa salahnya mengangkat bendera putih?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki mengibarkan bendera putih di kediamannya di Padang Besar, Perlis. - Foto oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

BEBERAPA hari ini trending isu bendera putih sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat, malah sebilangan pemimpin turut mengulas mengenainya.

Bendera putih ini lebih sinonim dengan keadaan di medan peperangan, malah tindakan mengangkat bendera putih diiktiraf di peringkat global. Jika satu pasukan itu hampir tewas, mereka akan mengibarkan bendera putih.

Jadi apa pula kaitan dengan bendera putih seperti yang disyorkan oleh beberapa pihak kepada rakyat yang ‘tewas’ dalam pandemik Covid-19 di negara ini?

Bagi penulis, idea itu sangat tepat pada masa dan keadaan sekarang. Kita telah melalui suasana ‘peperangan’ yang begitu hebat dan panjang.

Sejak Mac tahun lalu dan kini, lebih 16 bulan kita bertarung menentang musuh yang tidak kelihatan.

Ramai kehilangan harta benda, wang ringgit, pekerjaan, rumah tangga runtuh, anak-anak menjadi yatim piatu, malah sehingga semalam 5,170 nyawa diragut koronavirus, lebih 60,000 lagi masih dirawat di wad dengan 905 kes ditempatkan di unit rawatan rapi.

Dalam menghadapi wabak ini, ramai yang tewas. Ada yang terduduk, tersungkur dan lebih malang ada yang putus asa dengan meragut nyawa sendiri.

Kosmo! pada November tahun lalu pernah melaporkan 266 kes bunuh diri sejak Mac hingga Oktober 2020. Malah, trend membunuh diri semakin meningkat dan diakui sendiri oleh Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah baru-baru ini yang menyentuh mengenai impak ketara pandemik Covid-19 ke atas kesihatan mental.

Menurut beliau, kes bunuh diri meningkat kepada 631 kes sepanjang tahun lalu berbanding 609 kes pada 2019, malah sudah berlaku 366 kes bunuh diri dilaporkan oleh polis bagi tiga bulan pertama tahun ini.

Semua ini jelas menggambarkan betapa pentingnya solidariti dalam kalangan kita semua untuk membantu golongan yang tewas agar tidak mengambil jalan songsang bagi menyelesaikan himpitan hidup yang dialami.

Dengan mengibarkan bendera putih, penulis percaya proses menyalurkan bantuan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Tidak semua dalam kalangan yang terkesan dengan pandemik tahu bagaimana cara mendapatkan bantuan. Oleh itu, cara paling mudah ialah dengan kibarkan sahaja bendera atau kain putih agar disedari oleh sesiapa yang terdekat sebelum menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkaitan.

Kita sedia faham, kerajaan bekerja keras membantu menangani pelbagai masalah rakyat dan hal ehwal ekonomi yang melanda. Oleh itu, inisiatif bendera putih wajar disokong sebagai salah satu usaha bagi membantu golongan memerlukan khususnya individu dan keluarga yang tersisih daripada perhatian pihak berkuasa.

Penulis percaya, idea yang kelihatan remeh malah dipertikaikan sebilangan pihak ini boleh memberi impak besar. Kita perlu sedar perut yang lapar akan membawa kepada kecelaruan fikiran dan tindakan di luar jangka.

Siapa tahu dengan solidariti seperti ini mampu menyelamatkan nyawa manusia akhirnya! Syabas diucapkan kepada yang berkenaan.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI