LONDON – Pemain tenis No. 8 dunia, Roger Federer bernasib baik untuk melangkah ke pusingan kedua Kejuaraan Wimbledon selepas lawannya, Adrian Mannarino terpaksa menarik akibat mengalami kecederaan.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung kelmarin, Mannarino mengalami kecederaan lutut pada set keempat, sekali gus gagal untuk meneruskan aksi ke set penentuan.
Justeru, ia memastikan Federer melangkah ke pusingan kedua dengan keputusan 6-4, 7-6, 3-6, 6-2 dan dijadual bertemu pemain Perancis, Richard Gasquet hari ini.
Kata Federer, dia mengakui Mannarino menampilkan aksi cukup baik serta memberikan tentangan sengit kepadanya selain bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap lawannya itu.
“Saya akui ia satu situasi yang cukup menyedihkan. Satu insiden sahaja boleh mengubah keputusan perlawanan ataupun karier seseorang. Saya harap dia (Mannarino) cepat sembuh.
“Secara jujur, dia boleh memenangi perlawanan tersebut kerana menampilkan aksi lebih baik berbanding saya. Saya hanya bernasib baik untuk ke pusingan kedua,” kata bekas pemain No.1 dunia itu.
Sebagai rekod, pemain berusia 40 tahun itu dalam usaha memburu gelaran Grand Slam ke-21 selepas mengumpul 20 kejuaraan bagi menyamai rekod Rafael Nadal sebagai pemenang terbanyak Grand Slam. – AGENSI