fbpx

Tip guna treadmill elak kecederaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAKAIAN bersesuaian ketika berlari di atas treadmill penting bagi memberikan keselesaan, selain mengurangkan risiko kecederaan. – GAMBAR HIASAN

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 telah membataskan rutin sosial masyarakat.

Salah aspek yang ditegah sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 adalah aktiviti sukan tanpa melibatkan sentuhan serta terhad di sekitar kawasan kediaman sahaja.

Meskipun dibenarkan berlari atau berjalan di sekitar kawasan kediaman, namun terdapat kebimbangan berlaku jangkitan virus tanpa disedari.

Menyedari hakikat itu, ramai yang selesa memilih untuk berjalan dan berlari di dalam rumah menggunakan mesin treadmill. Menariknya, mesin itu boleh diperoleh pada harga serendah RM700.

Menerusi mesin tersebut, seseorang boleh berlari dan berjalan pada bila-bila masa tanpa perlu bimbang dengan keadaan cuaca atau bersesak dengan orang lain.

Paling menarik, mesin tersebut dilengkapi pelbagai alat mengukur seperti jarak dan waktu larian, kelajuan degupan nadi dan jumlah kalori dibakar.

Walaupun mesin treadmill menawarkan pelbagai manfaat kepada kesihatan badan, namun sekiranya tidak digunakan dengan salah ia boleh membawa mudarat.

Justeru minggu ini, Horizon ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu dititikberatkan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti larian atau berjalan di atas treadmill.

 

1. Pakaian bersesuaian

Fungsi treadmill adalah pengganti kepada trek larian.
Justeru, anda disaran mengenakan pakaian dan kasut bersesuaian ketika melakukan aktiviti itu.

Jangan sesekali berlari di atas treadmill menggunakan pakaian tebal kerana ia mudah menyerap peluh.

Kasut terbaik untuk berlari di atas mesin ini adalah jenis ringan dengan tapak yang mencengkam.

2. Mula dengan berjalan

Pilih berjalan secara perlahan-lahan terlebih dahulu di atas treadmill sebelum meningkatkan kelajuan secara perlahan-lahan.

Pakar mengesyorkan, sesi berjalan atau pemanas badan perlu dijalani sekurang-kurangnya lima minit dengan kelajuan sekitar 2.5 kilometer sejam.

Kemudian, anda boleh meningkatkan kelajuan mengikut kemampuan tenaga dan fizikal secara berperingkat.

KASUT yang paling sesuai untuk digunakan ketika menggunakan treadmill adalah jenis ringan dengan tapak mencengkam bagi mengelak daripada terjatuh. – GAMBAR HIASAN

3. Kenal pasti kemampuan

Anda perlu tentukan sendiri berapa lama ingin berlari di atas treadmill mengikut kemampuan.

Ini membolehkan anda melakukan rutin itu dengan lebih bersemangat.
Bagi yang baru berjinak-jinak dengan larian di atas treadmill, disarankan supaya berlari selama lima minit sebelum berehat lima minit dan melakukannya secara berterusan selama 20 minit.

Ia lebih baik daripada anda berlari selama 30 minit tanpa henti.

4. Ujian tiga minit

Salah satu perkara yang wajib dilakukan oleh seorang pemula adalah ujian kemampuan.

Jurulatih mencadangkan supaya berjalan selama seminit, berjoging seminit dan diakhiri dengan larian seminit.

Jika dapat bernafas dengan selesa, tingkatkan kelajuan larian secara berkala iaitu dua atau tiga hari sekali.

ANTARA kelebihan treadmill adalah ia boleh mengukur jarak dan waktu larian, selain kelajuan degupan nadi.

5. Regangan otot

Setiap treadmill hadir dengan fungsi trek larian condong.

Sebelum memulakan larian, pakar menyarankan supaya berjalan dengan trek mencondong bagi merasai pengalaman mendaki bukit.

Ia bagi menguji kemampuan otot di belakang kaki untuk mengelak kekejangan apabila berlari di atas treadmill dalam tempoh lama.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI