PETALING JAYA – Aksi kanak-kanak lelaki meminta izin seorang anggota polis untuk pulang ke kampung bagi berjumpa datuk dan neneknya meruntun jiwa orang ramai.
Klip video aksi tersebut telah dikongsi di laman TikTok oleh seorang pengguna yang dikenali sebagai Puteri Nur Farahanum.
Dia yang juga ibu kepada kanak-kanak berkenaan memberitahu, anaknya itu terlalu rindukan keluarga di kampung terutamanya datuk dan neneknya.
Menurut wanita itu lagi, dia telah puas memujuk anaknya namun masih tidak berhasil.
Akhirnya wanita itu membawa sendiri kanak-kanak itu bersemuka dengan pihak polis di sebuah balai polis.
Menerusi klip video itu, kelihatan kanak-kanak itu sendiri meminta izin daripada anggota polis untuk pulang ke kampung.
“Saya nak balik kampung boleh?” soal kanak-kanak itu kepada anggota bertugas.
Bagaimanapun, anggota bertugas dengan penuh santun melayani ‘permintaan’ kanak-kanak itu sambil menerangkan bahawa ketika ini seluruh negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kalau adik nak balik kampung kena tunggu habis PKP, tunggu Covid-19 hilang, masa tu lama boleh adik balik,” kata anggota polis tersebut.
Sementara itu, rata-rata pengguna TikTok turut bersimpati dengan kanak-kanak tersebut yang rindukan keluarganya di kampung.
Pada masa sama, ada yang turut berkongsi kisah sama rindu terhadap suasana kampung dan ahli keluarga di kampung sehingga ada yang hampir dua tahun tidak pulang. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929