JENAMA telefon pintar paling pesat berkembang, realme menyatakan komitmen memastikan 100 juta pengguna muda dapat menggunakan telefon pintar 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Perkara itu disampaikan dalam satu sidang kemuncak 5G yang diadakan secara maya dengan kerjasama GSMA, Counterpoint Research dan Qualcomm pada 3 Jun lalu.
Menerusi acara itu, realme turut mendedahkan kemunculan model terbaharu siri realme GT yang memfokuskan prestasi 5G dan kamera flagship yang bakal dilancarkan pada Jun dan Julai 2021.
Menurut realme, kemunculan peranti baharu itu juga adalah sebahagian inisiatif korporat syarikat dalam mempromosikan perkembangan 5G di peringkat global.
Bertemakan ‘Making 5G Global: Accessibility to All’, sidang kemuncak 5G menyaksikan pemimpin persatuan industri, institusi penyelidikan, vendor komponen dan pengeluar peranti tampil berkongsi pandangan mengenai topik 5G.
Ia merangkumi perbincangan mengenai penyambungan semasa 5G global, pendorong dan aspek teknikal evolusi 5G, hubungan unik antara 5G dengan generasi muda serta langkah untuk memudahkan akses 5G pada masa akan datang.
Dalam pada itu, realme turut menegaskan komitmen untuk mempopularkan 5G dan berkongsi janji memajukan penerapan 5G di pasaran global sekali gus membawa teknologi itu kepada lebih ramai pengguna di seluruh dunia.
Pada 2020, realme melancarkan 14 peranti 5G di 21 pasaran utama dunia merangkumi sekitar 40 peratus daripada produk keluarannya.
Menjelang 2022 pula, realme menyasarkan peningkatan jumlah penawaran 5G sehingga lebih 20 peranti meliputi 70 peratus produk di 50 pasaran.
realme juga merancang menerajui industri global dengan melancarkan telefon bimbit 5G pada harga serendah AS$100 dalam beberapa tahun akan datang.
Ia sebahagian langkah untuk meningkatkan penggunaan 5G khususnya di negara membangun.
Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif realme India dan Eropah, Madhav Sheth berkata, sejak kemunculan model 5G pertama iaitu realme X50, pihaknya komited meneroka konsep reka bentuk dan inovasi teknikal baharu bagi menghasilkan peranti 5G lebih tipis, mempunyai reka bentuk memukau dan berprestasi tinggi.
“Dalam era 5G, kami percaya komitmen untuk mempercepat penggunaan teknologi baharu adalah misi penting. Kami akan bekerja keras untuk mempromosikan 5G dengan memahami keperluan pengguna, mendorong inovasi produk dan membantu membina ekosistem lebih luas dengan rakan industri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jenama realme, Johnny Chen pula menjelaskan bahawa 5G mempunyai hubungan rapat dengan generasi muda.
Menurutnya, golongan ini bijak memanfaatkan internet dan mencari cara untuk menghubungkan dan mengekspresikan diri mereka secara maya.
“Sebagai jenama yang dikhaskan untuk pengguna muda, realme sentiasa meneliti setiap perkara yang mereka harapkan daripada teknologi 5G.
“Dengan penguasaan 5G untuk golongan muda, kami berharap mereka dapat menjadi perintis transformasi 5G dan membantu memimpin lebih ramai orang beralih ke era 5G,” katanya.
Tahun ini, realme merancang menubuhkan lebih 10 kedai pop-up 5G di seluruh dunia bagi membolehkan golongan muda menikmati pengalaman 5G menerusi permainan Cloud, teknologi Augmented Reality (AR), penyiaran langsung dan aplikasi 5G lain yang popular.
Mengulas lanjut mengenai cabaran 5G, Ahli Ekonomi Utama, GSMA Intelligence, Kalvin Bahia pula berkata, sehingga Mei tahun ini, 60 negara di seluruh dunia sudah melancarkan 5G dan 12 daripadanya adalah pasaran baharu dengan sebahagian besardi Asia.
“Walaupun pertumbuhan liputan 5G sangat memuaskan, tinjauan GSMA menunjukkan masih terdapat kekangan lain yang menghalang penggunaan teknologi baharu secara meluas dalam kalangan pengguna. Ia termasuklah kemampuan peranti, kekurangan literasi digital dan kemahiran serta kos data mudah alih.
“Namun, peralihan 5G tidak dapat dielakkan di seluruh dunia. Penerapan teknologi ini diharapkan dapat menyumbang AS$600 bilion kepada ekonomi global dalam dekad berikutnya,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengarah Penyelidikan Counterpoint Research, Peter Richardson mengakui bahawa pertumbuhan 5G sangat memberangsangkan dan penurunan harga telefon pintar yang pesat menjadi salah satu pemacu utama.
“Pada akhir tahun lalu, kami mendapati beberapa produk 5G yang kompetitif ditawarkan pada harga berpatutan di China. Realme menjadi jenama paling agresif dengan penjualan V3 5G pada harga AS$145.
“realme membantu mempopularkan teknologi di banyak negara lain dengan rangkaian produk menarik, spesifikasi hebat dan harga yang sangat berpatutan,” katanya.
Presiden Qualcomm India dan SAARC, Rajen Vagadia berkata, peningkatan penggunaan pemproses 5G mendorong prestasi pemprosesan platform itu ke tahap yang luar biasa.
“Ia membolehkan kami memaksimumkan usaha untuk membuat lebih banyak perubahan seperti yang kita dapat lihat pada komponen dan perkakasan telefon pintar masa kini.
“Menyedari kepentingannya, kami komited untuk terus menawarkan teknologi 5G kepada semua peringkat, memastikannya dapat diakses segmen luas di semua pasaran maju dan negara berkembang,” katanya.
Bagi menyokong penggunaan global produk 5G, realme akan menubuhkan tujuh pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di seluruh dunia tahun ini bagi meneroka teknologi dan produk 5G yang inovatif.
Setakat ini, 90 peratus sumber R&D realme ditukar kepada teknologi dan produk 5G.
Dalam dua tahun akan datang, realme dijangka melabur sebanyak AS$300 juta di seluruh dunia dalam penyelidikan teknologi dan pengembangan produk 5G bagi mempromosikan teknologi itu di peringkat global.
realme turut bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi seperti Celcom dengan menawarkan peranti realme 8 5G bersama pelan telefon terbaik.
Pengguna kini dapat memiliki realme 8 5G dengan teknologi DRE yang berupaya meningkatkan RAM sehingga 13GB secara keseluruhannya menerusi pelan Celcom.
Dapatkan realme 8 5G di Celcom secara percuma dengan pelan Celcom MEGA™ Lightning L Plus pada kadar caj hanya RM158 sebulan.
Dengan pelan ini, pengguna akan menikmati 90GB Internet pantas dan panggilan tanpa had untuk semua rangkaian.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif realme dalam perkembangan 5G, layari Facebook realme dan Instagram @realmemalaysia.