TUMPAT – Niat untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati durian ketika ini, seorang penjual di Kampung Semat Jal di sini menjual raja durian kampung pada harga RM10 untuk enam kilogram.
Jualan durian yang boleh dimuatkan dalam satu plastik besar itu dilakukan oleh Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 27, untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi menikmati buah itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, jualan durian semurah RM10 itu dilakukan dalam tempoh lima hari bermula kelmarin sehingga Jumaat ini.
“Pendekatan ini dilakukan selepas saya turut menerima rungutan orang ramai yang tidak mampu membeli, namun teringin makan durian.
“Disebabkan simpati dengan nasib mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi ketika ini, maka saya ambil keputusan untuk menjual durian pada harga yang murah agar semua orang dapat menikmatinya,” katanya ketika ditemui semalam.
Shahmi Azani berkata, dia yang merupakan pemborong durian di kawasan itu akan menjual sebanyak 12 tan buah setiap hari bemula pukul 8 pagi sehingga pukul 7 petang.
Katanya, bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah bekalan durian, malah ada ketika buah durian akan habis seawal pukul 2 petang.
“Bekalan pelbagai jenis durian termasuk IOI ganja dan kunyit akan sampai setiap hari. Kebiasaannya, saya menjual durian pada harga berpatutan antara RM3 sekilogram sehingga RM35 sekilogram mengikut gred buah itu.
“Semua bekalan durian ini dibawa dari luar Kelantan iaitu kawasan ke kebun di Tangkak, Johor, Jelebu (Negeri Sembilan) dan Banting (Selangor),” katanya.
Shahmi Azani yang juga ahli kumpulan Pemburu Buah Group, berkata, dia turut mendapat sokongan isterinya, Shaidatul Fatini Shamsudin, 29, untuk terus menjalankan perniagaan itu sejak lebih 11 tahun lalu.
Katanya, dia tidak pernah berkira dengan pelanggan dan disebabkan itu juga gerainya menjual buah durian itu pada harga yang amat berpatutan. -K! ONLINE.