fbpx

Jurujual mati dikelar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis melakukan siasatan di lokasi mayat, Kuek Choo Hong ditemui dengan kesan kelar pada leher di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani hari ini.

Oleh NUR SYAZWANA MANSOR

SUNGAI PETANI – Mayat seorang jurujual wanita warga emas ditemui dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Taman Kelisa Ria, Amanjaya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat Kuek Choo Hong, 61, ditemui anak saudara lelakinya dalam keadaan terlentang berlumuran darah serta muka ditekup dengan bantal kira-kira pukul 1 petang tadi.

“Pemeriksaan pada mayat bersama pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui kesan kelar pada leher mangsa sepanjang kira-kira 12 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mayat mangsa ditemui selepas kakaknya mengesyaki sesuatu yang buruk apabila mangsa tidak pergi bekerja di sebuah pasar raya di sini pada petang semalam.

“Kakak mangsa bersama beberapa ahli keluarga dan rakan mangsa pergi rumah tersebut dan mendapati pintu rumah berkunci dengan mangga dari luar serta pendingin hawa masih berfungsi.

“Mereka cuba memanggil mangsa bagaimanapun tidak berbalas menyebabkan mereka bertindak memecahkan mangga pada pintu rumah sebelum mayat mangsa ditemui dalam sebuah bilik,” ujarnya.

Menurut Shamsudin, siasatan awal mendapati mangsa tinggal di rumah teres satu tingkat itu bersama suaminya berusia 62 tahun.

“Menurut jiran, kali terakhir mereka nampak suami mangsa keluar dari rumah itu pada malam 8 Ogos lalu dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara,” katanya.

Selain itu, kata beliau, keterangan awal menantu mangsa menyatakan wanita terbabit sering bergaduh dengan suaminya serta pernah ditinggalkan di tepi jalan.

“Hanya mangsa dan suspek mempunyai kunci rumah itu selain tiada kesan pecah masuk yang mana rumah berkunci dengan baik sebelum dipecahkan oleh waris mangsa,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya masih menyiasat motif sebenar pembunuhan itu dan sedang mengesan suami mangsa bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI