PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) sebagai usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu dilaksanakan dengan mengenalpasti kumpulan sasaran (SelVAX Komuniti) serta memelihara pekerja (SelVAX Industri) dalam negeri yang merupakan penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Program percuma SelVAX Komuniti ini akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin, manakala Program SELVAX Industri merupakan sebuah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran 1 juta pekerja.
“Usaha ini antara lain bagi mengatasi masalah angka penerima vaksin yang masih rendah disebabkan bekalan vaksin yang terhad. Masalah ini bukan hanya berlaku di negeri Selangor dan Malaysia tetapi juga di rantau Asia Tenggara dan Afrika,” katanya dalam Pengumuman Khas Program Vaksin Selangor (SelVAX) secara maya hari ini.
Katanya, dengan Program Vaksin Selangor, pihaknya mensasarkan tambahan sehingga kapasiti 43,500 dos vaksin sehari melalui lebih daripada 22 Pusat Pemberian Vaksin, dewan komuniti, PPV bergerak dan Klinik dan Hospital Swasta.
“Usaha ini dijangkakan menambah kapasiti harian vaksinasi dan mampu memendekkan jangka waktu yang signifikan sekitar 100 hari lebih awal dengan sasaran vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa di Selangor selesai pada Oktober 2021.
“Ini memenuhi jangkaan yang disebut oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mencapai masing-masing 135,000 dos vaksin menjelang Julai dan 165,000 dos vaksin harian menjelang Ogos,” ujarnya.
Dalam pada itu Amirudin berkata, sejumlah lima PPV Mega, enam PPV Dewan Komuniti dan 15 Klinik Selcare yang akan melibatkan sekitar 5 ribu orang tenaga kerja perubatan dan bukan perubatan dengan sejumlah 1,228 klinik panel akan digerakkan bagi melengkapkan usaha imunisasi di Selangor.- K! ONLINE.