fbpx

Ibu hamil, menyusu usah dengar golongan antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU hamil dan menyusu perlu mendapatkan maklumat tepat daripada doktor mengenai vaksinasi dan jangan mudah terpedaya dengan sebaran di media sosial. – GAMBAR HIASAN

Oleh DR. PREMITHA DAMODARAN

SEJAK akhir-akhir ini, terdapat desas-desus dalam kalangan ibu hamil yang terlalu takut untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah membuat pengumuman tentang vaksin Pfizer sebagai pilihan yang sesuai untuk golongan ibu hamil dan menyusu.

Bagaimanapun, ramai yang masih mempersoalkan keselamatan vaksin terhadap kandungan.

Peningkatan catatan kes Covid-19 di seluruh negara begitu membimbangkan. Sepanjang lebih 25 tahun dalam dunia perbidanan, saya belum pernah melalui pandemik yang serius seperti ini. Justeru, ibu hamil perlu mendapatkan vaksin dalam tempoh antara minggu ke-14 hingga 33 kehamilan.

Apabila seorang wanita hamil, tubuh mengalami perubahan drastik untuk disesuaikan dengan kesihatan dan keselamatan bayi dalam kandungan. Tahap imuniti si ibu menurun dan mereka mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit.

Secara umumnya, seorang ibu hamil digalakkan untuk mengambil vaksin influenza dan Tdap untuk melindungi diri daripada influenza, kancing gigi, difteria dan batuk kokol yang merupakan sejenis penyakit mudah berjangkit dan boleh meningkatkan risiko kematian dalam kalangan bayi baru lahir.

Vaksin batuk kokol yang juga dikenali sebagai pertussis itu lazimnya diberikan kepada bayi selepas tiga bulan kelahiran.

Justeru, si ibu perlu diberikan vaksin Tdap untuk memastikan antibodi yang dibina dalam badan boleh disalurkan kepada bayi bagi memberikan perlindungan jangka pendek.

Sebenarnya, golongan ibu sudah lama menerima vaksin sepanjang kandungan bagi menjamin kelahiran bayi yang sihat dan terlindung daripada penyakit.

Buat masa ini, kita perlu memastikan ibu-ibu ini mendapatkan vaksin Covid-19 kerana wabak tersebut telah terbukti lebih berbahaya berbanding penyakit lain.

Dalam kes positif Covid-19 yang melibatkan ibu hamil, kategori klinikal penyakit tersebut boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain.

Keadaan ibu hamil boleh melarat dengan cepat kerana rahim ibu yang mengembang mengikut tempoh kehamilan khususnya selepas memasuki bulan keempat memberi impak terhadap paru-paru si ibu.

Disebabkan itu, ibu hamil yang disahkan positif sering kali ditahan di hospital untuk perhatian lanjut sehingga betul-betul sembuh.

Sebagai Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, antara tanggungjawab kami adalah untuk memastikan semua ibu menikmati pengalaman kehamilan yang mudah dan menggembirakan.

Namun, sejak pandemik ini melanda, kami perlu bekerja lebih keras supaya ibu-ibu ini dapat melahirkan bayi dengan selamat.

Bercerita tentang kesan sampingan vaksin Covid-19 selepas vaksinasi seperti rasa lenguh, pening kepala, mual dan demam boleh dirawat dan tidak mendatangkan mudarat kepada ibu dan bayi kerana kesan tersebut akan hilang dengan sendiri.
Sekiranya perlu, doktor akan memberikan ubat paracetamol untuk ibu hamil menangani kesan sampingan tersebut.

Jangan keliru kesan ini dengan kesan alahan, kerana alahan boleh mengakibatkan serangan kejutan (anaphylactic shock) sehingga muka bengkak dan sukar bernafas.
Kita perlu cuba bertahan dengan rasa kurang selesa selepas divaksinkan.

KES positif Covid-19 melibatkan ibu hamil kategori klinikal boleh bertambah serius dalam masa singkat berbanding individu lain. –GAMBAR HIASAN

Ini kerana, dalam tempoh hamil, kesihatan ibu adalah paling mustahak. Tanpa ibu yang sihat dan bebas penyakit, bagaimana bayi yang sihat dapat dilahirkan.

Terbaharu, kita sudah selesai fasa satu program Imunisasi Kebangsaan yang melibatkan antara 80 hingga 90 peratus kakitangan kesihatan seluruh negara. Kini, hospital adalah antara tempat paling selamat untuk anda.

Oleh itu, jangan takut untuk datang ke hospital dan berbincang dengan doktor tentang sebarang isu melibatkan kehamilan dan vaksin Covid-19.

Kakitangan kesihatan yang hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin. Sehingga kini, mereka juga tidak mengalami apa-apa isu berkaitan Covid-19 sepanjang kehamilan.

Para ibu perlu mendapatkan maklumat tepat daripada sumber sahih dan jangan mudah terpedaya oleh sebaran di media sosial kerana setiap kehamilan adalah unik.

Disebabkan itu, ibu-ibu perlu mendapatkan nasihat doktor tentang menghadapi kehamilan sepanjang tempoh pandemik.

Para suami pula perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga keselamatan isteri sedang hamil.

Mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga apabila keluar bekerja, membeli barang keperluan rumah atau melaksanakan tugas lain sebelum kembali ke rumah.

Penjagaan selepas kelahiran juga amat penting. Kami faham ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan amat teruja untuk menyambut ketibaan ‘orang baharu’ dalam keluarga.

Dalam tempoh pandemik ini, sebaiknya elakkan kunjungan pelawat yang mahu menyentuh bayi anda.

Walaupun nampak sihat pada mata kasar, sukar untuk kita membezakan individu sihat dan mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom Covid-19.

Dengan ribuan kes baharu dicatatkan dalam negara setiap hari, ibu hamil dan menyusu diharap terus mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

————————————————————————————————————-
Dr. Premitha Damodaran ialah
Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI