KUALA NERUS – Biarpun gentar pada mulanya, seorang warga emas berusia 90 tahun akhirnya akur dengan pujukan anak-anak serta cucunya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini.
Mat Zin Abdullah, 90, dari Batu Enam di sini berkata, hasrat untuk kembali semula bersolat jemaah di surau tanpa rasa ragu-ragu dijangkiti selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini juga pendorong kuatnya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 tersebut.
Dia mengakui semakin terbuka tentang vaksin Covid-19 setelah melihat ramai ahli keluarga dan sahabat handai yang sihat walafiat selepas selesai menerima suntikan.
“Mulanya gementar dan rasa tiada keperluan untuk divaksin kerana sudah lama tidak keluar rumah tetapi anak-anak dan cucu termasuk yang bekerja sebagai doktor dan petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) rajin memujuk.
“Harap-harap tidak lama lagi, boleh saya kembali bersolat berjemaah di surau dan minum kopi di kedai seperti kebiasaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Sementara itu, salah seorang cucu Mat Zin, Safwan Mohd Saidi, 30, berkata, dia bersyukur akhirnya datuknya sukarela menerima vaksin Covid-19 setelah dipujuk anak-anak dan cucu sejak bulan Mac lalu.
Dia yang juga petugas di PPV UniSZA berkata, pada mulanya datuk berkeras dengan pelbagai alasan namun mereka tidak putus asa terus memujuknya. – K! ONLINE.