KUCHING – Seorang tukang cuci ditahan polis disyaki membuat laporan palsu menjadi mangsa ragut bagi menyelamatkan diri setelah melesapkan wang milik majikannya.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superitendan Aidil Bolhassan berkata, lelaki berusia 25 tahun itu telah hadir membuat laporan palsu berkenaan di Balai Polis Batu Kawa pada Isnin lalu.
“Suspek mengatakan dia sedang menunggang motosikal berdekatan MJC Batu Kawa sekitar pukul 12.40 tengahari sebelum beg silangnya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM3,600 telah diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal dari arah belakang.
“Namun setelah disoal siasat, suspek akhirnya mengaku telah membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek mengaku telah membuat laporan palsu kerana telah membelanjakan wang milik majikannya untuk membeli barang keperluan harian.
“Duit majikan tersebut adalah hasil dari keuntungan kegiatan perjudian atas talian,” katanya.
Suspek telah ditahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kes akan disiasat dengan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE.