PETALING JAYA – Dramatis Adrea Abdullah menafikan dakwaan sesetengah pihak, kononnya dia laparkan perhatian dengan cara menjaja kisah buruk yang dilalui sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan.
Kata Adrea, apa yang diceritakan adalah pengalaman sebenar yang dilalui sendiri sekitar 15 tahun lalu.
Dia juga langsung tidak berniat untuk menyebarkan keburukan mana-mana pihak apatah lagi tidak menyebut sebarang nama dalam setiap perkongsiannya.
Katanya, dia dihujani mesej peribadi bertanyakan identiti pelakon dimaksudkan, sampai sekarang perkara itu masih disimpan kemas.
“Apa yang saya cerita adalah pengalaman saya sendiri berlakon drama, benda itu berlaku lebih daripada 15 tahun lepas. Orang lain pun tak tahu siapa melainkan kru dan pelakon yang ada di set ketika itu.
“Saya tak pernah sebut nama sebab tiada niat mahu mengaibkan orang lain, saya pun tak sempurna. Siapa saya untuk dedahkan nama dia (pelakon).
“Malah ada juga yang hantar mesej peribadi bertanyakan siapa yang saya maksudkan. Sampai ke sudah saya tak bagi tahu sebab itu bukan tujuan saya, saya kongsi untuk bagi ikhtibar,” katanya.
Terdahulu, difahamkan bintang Blok 404 itu adalah pelakon yang dimaksudkan pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohammeddin sebagai laparkan perhatian dengan berkongsi kisah buruk di lokasi penggambaran sebagai kandungan media sosial.
Biarpun tidak menyebut nama artis terbabit, Shaharulezad dikatakan menujukan keluhannya terhadap bintang drama Elly & Epit itu.
Menurut pengarah Nur lagi, perbuatan sebegitu boleh memberikan tanggapan buruk masyarakat terhadap industri hiburan khususnya membabitkan penggiat dunia lakonan.
Enggan berdiam diri, Adrea atau nama sebenarnya Nik Adrea Nik Abdullah, 44, menjelaskan situasi sebenar menerusi saluran Tik Tok dan Instagramnya.
Pada masa sama, dia turut mengambil langkah menutup ruangan komen di kedua-dua medium akaun peribadinya bagi mengelakkan fitnah.
Kata Adrea, walaupun hanya sebilangan kecil yang memberikan maklum balas negatif, tindakannya diharap dapat menghentikan sebarang spekulasi.
“Minta maaf, saya terpaksa tutup ruangan komen sebab ramai sangat yang suka petik nama, jadi saya tak mahu benda itu bertukar menjadi fitnah, tak baik macam itu. “
“Malah ramai yang sokong saya berbuat demikian (tutup komen). Daripada 100 mesej yang saya terima, 99.99 peratus sangat seronok dibaca sampai buat saya ketawa dan rasa dihargai.
“Sudah tentu bukan semua yang suka dan tak gembira dengan perkongsian saya. Daripada jadi perkara negatif atau fitnah, lebih baik saya tutup saja ruangan komen,” katanya lagi.
Adrea yang mula menceburkan diri di arena seni pada 2004 turut berharap orangf ramai bertenang sekali gus tidak membuat sebarang andaian yang memburukkan lagi keadaan.
Dia turut menegaskan dugaan berkenaan tidak mematahkan semangat untuk berkongsi ‘content’ atau kandungan lain menerusi laman sosialnya. – K! ONLINE