fbpx

Polis siasat dakwaan wanita dihubungi anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dimuat naik oleh seorang wanita mendakwa telah dihubungi anggota polis semalam.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita yang dihubungi anggota polis menerusi aplikasi Whatsapp selepas dia hadir ke balai polis untuk memohon permit merentas negeri semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengesan isu berkenaan yang tular di laman Twitter dan sedang melakukan siasatan berhubung kejadian.

“Wanita berusia 26 tahun itu mendakwa telah ke Balai Polis Setapak untuk memohon kebenaran merentas negeri namun dia kemudiannya telah dihubungi oleh seorang anggota polis menerusi aplikasi WhatsApp.

“Wanita berkenaan juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Gombak kira-kira pukul 7.30 petang semalam dan difahamkan telah pun memberikan keterangan berhubung kejadian kepada pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ashari, siasatan berhubung kejadian itu dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Pihak polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan sebarang salah laku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa telah dihubungi oleh seorang anggota polis lelaki menerusi aplikasi Whatsapp selepas hadir ke balai polis untuk membuat permohonan melakukan rentas negeri.

Menerusi ciapan di laman Twitter wanita berkenaan memaklumkan telah hadir ke balai polis untuk membuat permohonan rentas negeri bagi dirinya dan suami untuk pergi ke hospital dan terkejut apabila mendapat mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang anggota polis.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI