BUKAN sekali dua, bahkan sudah berkali-kali pelakon yang juga model Herjunot Ali dituduh sebagai lelaki homoseksual atau gay oleh netizen.
Aktor Tenggelamnya Kapal Van der Wijck itu sering dihujani pertanyaan peminat, terutama menerusi Instagram tentang kecurigaan status orientasi seksualnya.
“Mengenai orientasi seksual saya, itu hal yang peribadi,” katanya dalam satu muat naik di InstaStory.
Ketika ditanya sama ada dia merupakan seorang penyokong komuniti LGBT, Herjunot berkata, dia tidak pernah menyokong mana-mana kelompok seperti yang dimaksudnya, malah dia juga mempunyai pendirian tersendiri.
“Saya tidak menyokong mana-mana group komuniti. Cuma saya menyokong kumpulan yang memperjuangkan hak kemanusiaan.
“Kalau kamu melakukan perkara baik dalam hidup dan masuk akal, itu sudah cukup buat saya,” katanya.
Menginjak usia 35 tahun, persoalan sedemikian sering menjadi ‘makanan’ Herjunot lantaran statusnya yang belum berkahwin dan tidak memiliki teman wanita.