PETALING JAYA – Semangat seorang murid tahun 5 yang sanggup bekerja mengecat meja dipuji pengguna media sosial kerana kegigihannya untuk mendapatkan sekampit beras bagi menampung keluarganya tular di aplikasi TikTok sejak semalam.
Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna @mfs_bengkelbesi memaparkan pelajar tersebut tekun melakukan kerja-kerja mengecat meja selepas bertanya sekiranya terdapat kerja yang boleh dilakukan untuk mendapat ‘gaji’.
Menurut pengguna tersebut, murid tahun 5 yang dikenali sebagai Muhammad Hanif Zakaria memilih beras sebagai upah selepas membantu lelaki tersebut mengecat meja dari memilih wang sebagai gajinya ketika itu.
Rata-rata pengguna di aplikasi TikTok kagum melihat usaha yang dilakukan oleh pelajar tersebut untuk membantu keluarganya ketika pandemik Covid-19.
Ada juga yang sebak kerana pelajar itu memilih beras sebagai upah setelah diberi pilihan sama ada mahu wang atau beras.
“Kecil-kecil dah tahu apa itu tanggungjawab. Saya doakan semoga abang dan adik itu dimurahkan rezeki seluas lautan serta dipermudahkan segala urusan, in sha Allah, aamiin,” kata @bbbbbbbbbbb_4 terharu.
“Gembira betul adik tu dapat bawa balik beras. Allah, automatik air mata saya mengalir. Semoga adik Hanif jadi anak soleh dan berjaya dunia akhirat,” jelas @hanie_raa.
“Lagu dan cerita adik ini betul-betul buat air mata laju saja keluar. Semoga adik diberikan kesihatan yang baik selalu. Untung ibu dan ayah ada anak seperti adik Hanif ini,” ujar @kamariehjahaya di ruang komen.
Dalam pada itu, pelajar tersebut turut mengucapkan terima kasih atas bantuan, pujian dan doa yang diberikan kepadanya setelah video tersebut tular semalam. – K! ONLINE.