PETALING JAYA – MR D.I.Y. Group (M) Bhd. (MR D.I.Y.) menyokong inisiatif eBelia menerusi pemberian baucar pulangan tunai kepada penerima program berkenaan.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Group, Andy Chin berkata, bagi penerima yang menebus kredit eBelia menerusi ShopeePay, MR D.I.Y. memberikan baucar pulangan tunai RM5 yang boleh ditebus di cawangan MR D.I.Y. dan MR. DOLLAR dengan pembelian minimum RM10.
Bagi mereka yang menebus kredit eBelia menerusi Touch ‘n Go eWallet pula akan menerima baucar pulangan tunai RM2 yang boleh ditebus di cawangan MR D.I.Y. dengan perbelanjaan minimum RM40.
“Baucar diberi berasaskan siapa cepat dia dapat dan terhad kepada satu baucar bagi setiap penerima eBelia.
“Kerjasama dengan dua penyedia e-dompet itu membolehkan golongan belia mendapat lebih nilai daripada program tersebut, di samping menggalakkan generasi muda mengamalkan gaya hidup tanpa tunai.
“Kami mempunyai pelbagai rangkaian produk sesuai digunakan oleh pelajar dan golongan belia untuk pembelajaran, termasuk alat tulis, aksesori komputer dan telefon pintar.
“Ini membantu belia terus memenuhi keperluan gaya hidup dan pembelajaran mereka tanpa perlu berbelanja secara keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.