fbpx

England singkirkan Jerman di Wembley

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain meraikan gol kedua England hasil jaringan Harry Kane sekali gus menyaksikan skuad The Three Lions membenam Jerman 2-0 pada pusingan 16 terbaik, Euro 2020 di Stadium Wembley, London sebentar tadi. - AFP

LONDON – England terus kebal di laman sendiri apabila meraih tiket ke pentas suku akhir apabila menewaskan seteru tradisi, Jerman 2-0 pada pusingan 16 terbaik, Euro 2020 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Wembley itu, skuad England terlebih dahulu menguji gawang pasukan pelawat hasil ledakan luar kotak penalti yang dilakukan oleh Raheem Sterling pada minit ke-5 tetapi mudah diselamatkan oleh penjaga gol, Manuel Neuer.

Jerman yang dikendalikan oleh Joachim Low turut memiliki peluang keemasan tetapi rembatan yang dilakukan oleh penyerang utama, Timo Werner pada minit ke-33 gagal menerjah gawang.

Peluang terbaik skuad Three Lions hadir pada masa kecederaan babak pertama tetapi peluang keemasan itu disia-siakan oleh kapten England, Harry Kane.

Bersambung babak kedua, Jerman sekali lagi menguji gawang England yang dikawal oleh Jordan Pickford menerusi rembatan Kai Harvetz yang berjaya ditepis penjaga gol Everton itu pada minit ke-49.

Tersentak dengan itu, pengendali England, Gareth Southgate membuat rombakan dengan memasukkan perancang sensasi dari kelab Aston Villa, Jack Grealish untuk digantikan dengan Bukayo Saka.

Keputusan tersebut ternyata bijak apabila Grealish dapat memberi dimensi baharu buat jentera serangan England sekali gus memberi kesukaran buat benteng pertahanan skuad Die Mannschaft.

Sterling akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya menyudahkan hantaran Luke Shaw untuk meledak gol pertama pada minit ke-75.

Skuad England terus mengaum apabila giliran Kane pula untuk menjaringkan gol pertamanya pada kempen Euro 2020 kali ini selepas menanduk masuk bola hantaran Grealish pada minit ke-86.

Jerman berusaha untuk mencari gol bagi menghidupkan sisa-sisa harapan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Aksi tersebut juga menyaksikan aksi terakhir Low mengendalikan skuad Jerman selepas mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan digantikan dengan bekas jurulatih Bayern Munich, Hansi Flick. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI