fbpx

6,437 kes, apa sudah jadi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rata-rata rakyat melahirkan rasa tidak puas hati apabila kes Covid-19 melonjak semula kepada 6,437 walaupun selepas sebulan total lockdown.

Mereka turut menyatakan pe­rasaan kecewa kerana kes tidak turun seperti yang diharap­kan meskipun pelbagai langkah penguatkuasaan telah dilaksana­kan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, sedang­kan pada masa sama dipaksa berkurung hingga tidak dapat melakukan pelbagai aktivi­ti bagi menjana pendapatan serta persekolahan anak.

Namun, ada juga yang masih rasional dan berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

“Saya memang dah tak boleh bersangka baik dan mendesak kerajaan supaya menggunakan strategi yang lebih berkesan untuk menangani pandemik.

“Hairan dari mana datangnya pelbagai kluster dan varian sedangkan rentas negeri dan negara tidak dibenarkan. Seperti ada yang tidak kena,” kata pekerja swasta, Shaharul Efandy, 33.

Semalam Selangor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 2,299 kes diikuti Kuala Lumpur (1,361 kes) dan Negeri Sembilan (700 kes) menjadikan jumlah keseluruhan 745,703 kes.

Sebanyak 107 kematian pula direkodkan, antara yang tertinggi dalam minggu ini.

Seorang lagi pekerja swasta, Muhd. Razuan Hamzah, 41, berkata, berkurung dalam tempoh lama tidak begitu sihat buat anggota keluarganya yang tinggal di sebuah pangsapuri.

“Anak-anak sudah mula memberontak kerana tidak dapat bermain,” katanya.

Sementara itu di George Town, seorang pengusaha kantin sekolah resah memikirkan masa depannya sekiranya sekolah te­rus ditutup hingga hujung tahun.

“Syukur ada bantuan RM1,000 yang diumumkan semalam (kelmarin), namun lama mana boleh bertahan? Ada dalam kalangan kami sudah murung dan tertekan emosinya memikirkan masalah kewangan.

“Kami tiada sumber pendapatan lain dan simpanan pula semakin menyusut. Siang malam saya berdoa agar pandemik ini segera berakhir,” katanya.

Di Kuala Kangsar, rata-rata peniaga mahu kerajaan membenarkan mereka meneruskan semula bisnes bagi kelangsungan hidup mereka.

“Kami mahu pasar pagi dan pasar malam dibuka supaya peniaga kecil seperti saya dapat mencari nafkah.

“Bantuan yang diberi memang bagus cuma tidak bertahan lama kerana saya ada keluarga untuk disara,” katanya ketika ditemui di Kampung Bendang Kering di sini.

Bekas pekerja kilang, Mohd. Azrul Said turut berharap PKP segera ditamatkan agar dia dapat mencari pekerjaan baharu.

“Saya mahu bekerja semula, namun mustahil selagi PKP tidak ditamatkan kerana saya tidak boleh mencari pekerjaan,” kata­nya.

Di Bentong, seorang pengurus taska, Siti Nur Amirah Zolkaffely berkata, bantuan RM3,000 yang diberi tidak dapat memulihkan kerugian besar yang ditanggung, namun sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk terus bertahan.

“Kami faham keadaan semasa pandemik dan berharap Co­vid-19 akan berakhir agar taska dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Di Alor Setar, seorang peniaga, Mat Nasir Md. Jusoh, 45, berkata, dia lega dengan bantuan Pemulih seperti Bantuan Khas Covid-19 dan moratorium yang begitu me­ringankan bebannya ketika ini.

“Duit simpanan itu akan saya gunakan untuk keperluan ha­rian dan menyara lima anak yang masih bersekolah. Namun dalam masa sama saya mohon PKP Penuh ditamatkan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI