Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Berdasarkan maklumat disampaikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Polis Johor berjaya menahan tiga suspek terlibat dalam aktiviti pemburuan haiwan di sekitar Kluang, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga suspek yang ditahan itu termasuklah seorang wanita dan berusia antara 44 hingga 53 tahun.
Katanya, terdahulu, pihaknya telah menahan tiga lelaki yang juga dipercayai terlibat dalam aktiviti pemburuan haiwan menggunakan senjata api di Jemaluang, Mersing.
“Operasi pertama dijalankan di tepi Sungai Lenggor, Jemaluang pada pukul 1.30 pagi semalam dimana kita berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 33 hingga 47 tahun.
“Kemudian, susulan daripada maklumat diberikan Sultan Johor, operasi kedua dijalankan pada pukul 10 malam hari yang sama dimana kita berjaya menahan tiga lagi suspek,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, menerusi operasi pertama, polis turut merampas dua bahagian daging babi hutan, satu trofi duri landak, dua laras senapang buatan sendiri, tiga parang dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Sementara itu dalam operasi kedua, kita merampas 54 bahagian daging babi hutan, 17 bahagian daging disyaki ayam hutan, 10 bahagian dipercayai daging burung puchong, enam bahagian disyaki daging kijang dan dua kepala kijang.
“Dalam operasi itu juga, polis merampas selaras senapang patah, 270 butir peluru, satu buku lesen senjata api dan sebuah kenderaan pacuan empat roda,” ujarnya.
Kesemua suspek kini dikenakan reman manakala kes disiasat di bawah Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8, 8(a) dan 8(b) Akta Senjata Api 1960.-K! ONLINE.