CUIABA – Bintang sensasi dunia, Lionel Messi muncul pemain Argentina yang membuat penampilan paling banyak iaitu 148 kap ketika turun membantu pasukannya menewaskan Bolivia 4-1, selain turut menyumbang dua gol pada aksi Copa America 2021 pagi semalam.
Messi yang menyamai rekod 147 aksi milik Javier Mascherano ketika aksi minggu lalu membuka persembahan dengan melakukan umpanan gol yang disempurnakan oleh Papu Gomez sebelum dia sendiri meledak dua gol kemudian.
Kejayaan pada perlawanan yang berlangsung di Arena Pantanal itu menyaksikan Argentina muncul juara Kumpulan A dan mara ke saingan suku akhir serta akan turun menentang Ecuador yang menamatkan saingan di kedudukan keempat Kumpulan B.
Bolivia yang sudah tersingkir daripada saingan selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut terus gagal untuk mengimbangi perlawanan apabila Argentina bukan sahaja turun untuk meraih kemenangan, sebaliknya ghairah mencari lebih banyak jaringan.
Argentina hampir mendahului perlawanan seawal minit ketiga menerusi percubaan Sergio Aguero dan disusuli oleh Angel Correa, tetapi kecekapan penjaga gol Bolivia, Carlos Lempe berjaya menafikannya.
Bagaimanapun, Argentina tidak tidak menunggu lama apabila mula mendahului perlawanan pada minit keenam selepas hantaran Messi berjaya menemui Gomez yang mudah untuk meletakkan bola di dalam gawang Bolivia.
Pada minit ke-33, giliran Messi mencetak namanya sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan penalti apabila pemain pertahanan Bolivia, Diego Bejarano menjatuhkan Gomez di dalam kotak penalti.
Messi kemudian menambah gol ketiga pasukan itu kira-kira sembilan minit kemudian selepas menerima umpanan Sergio Aguero sebelum melakukan sepakan lambung menarik yang melepasi jangkauan Lempe .
Babak kedua menyaksikan Bolivia memberikan sedikit tentangan dan akhirnya mendapat gol saguhati menerusi Erwin Saavedra pada minit ke-60 yang mendapat umpanan Leonel Justiniano.
Argentina kemudian menutup malam cemerlang mereka menerusi gol keempat hasil jaringan pemain gantian Lautaro Martinez pada minit ke-65 yang dimasukkan menggantikan Aguero. – AGENSI