LONDON – Bintang tenis No.9 dunia, Iga Swiatek memulakan Kejuaraan Wimbledon dengan langkah positif apabila mara pusingan kedua selepas berjaya mengatasi jaguh Taiwan, Hsieh Su-Wei 6-4, 6-4 awal pagi semalam.
Prestasi pemain remaja Poland itu dilihat baik ketika ini selepas tampil cemerlang dengan meraih gelaran pertamanya musim ini di Terbuka Itali dengan menewaskan pemain berpengalaman, Karolina Pliskova.
Justeru, pemain berusia 20 tahun dari Poland itu bertekad untuk melangkah ke peringkat tertinggi sekali gus mahu mengatasi pencapaian pada 2019 apabila tewas pada pusingan pembukaan.
“Kembali semula ke gelanggang yang sama ketika turun sebagai junior sebelum ini ternyata membawa banyak kenangan kepada saya. Sudah pasti saya cukup teruja ketika memulakan permainan di sini.
“Pada saingan kali ini, saya dapat rasakan bahawa jurulatih telah mempersiapkan saya dengan sangat baik kerana saya tidak berdepan sebarang tekanan untuk perlawanan pembukaan ini.
“Saya menggunakan strategi terbaik seperti yang disarankan jurulatih untuk mengatasi Su-Wei.
“Ketika perlawanan itu, saya turun dengan aksi yang agak agresif untuk memastikan Su-Wei tidak mampu mengawal perlawanan ini. Saya melakukan pukulan servis dengan cukup baik dan ternyata membantu saya meraih kemenangan pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, juara dua kali Wimbledon, Petra Kvitova dikejutkan apabila tersingkir awal selepas tewas kepada juara Terbuka Amerika Syarikat (2017), Sloane Stephens dengan keputusan straight-set 6-3, 6-4 sekali gus terpaksa meninggalkan kejohanan itu lebih awal. – AGENSI