fbpx

Teguhkan kesabaran, akidah hadapi cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

LEBIH setahun sejak pandemik Covid-19 melanda, ada pelbagai kisah me­runtun jiwa yang terjadi di sekeliling melibatkan masyarakat terutamanya golo­ngan susah.

Paling kerap didengar adalah cerita kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, rakyat yang hidup berdepan kesukaran mencari pendapatan lebih-lebih lagi apabila banyak sektor ditutup, pengurangan pekerja atau tindakan majikan memotong gaji.

Sejak memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh, semakin banyak berita sedih membabitkan masyarakat menjadi perhatian antaranya depresi, bunuh diri dan tidak kurang juga yang melakukan perbuatan merompak gara-gara ke­sempitan hidup.

Contoh paling terkini, seorang lelaki yang berdepan masalah kemurungan sejak perniagaan di­usahakannya gagal ditemui maut selepas mengambil pendekatan terjun dari tingkat 10 pangsapuri di Pulau Pinang.

Begitu juga dengan kisah seorang wanita yang tertekan akibat diberhentikan kerja melakukan perkara sama apabila cuba membunuh diri dari tingkat 32 sebuah kondominium.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga beberapa hari lalu mendedahkan menerima lebih 100,000 panggilan meminta bantuan sokongan psikososial sejak Ja­nuari lalu.

Memang benar, manusia sanggup melakukan apa sahaja jika berada dalam keadaan tidak rasional meskipun pada hakikatnya tindakan sebegitu sangat ditegah dalam Islam.

Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, perkara yang perlu dititikberatkan dalam diri manusia adalah akidah yang menjadi benteng seseorang daripada melakukan perkara yang buruk.

“Jika longgar akidah, itu yang boleh sampai bunuh diri, tetapi kalau akidah kita hebat, apa saja jenis cubaan, tekanan mampu ditepis. Sebab apa? Kerana kita yakin dan bersangka baik dengan Allah.

“Sebab itu dalam al-Quran, semua surah dimulakan de­ngan bismillahi rahmanirahim (dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang). Bersangka baiklah dengan Tuhan kerana Dia Maha Berkuasa, Mengetahui dan Pemurah.

“Rasullullah sendiri ada menyebut, apabila ditimpa sesuatu musibah, maka kita perlu ucapkan innalillahi wainna ilayhirajiun. Maksudnya, kita kepunyaan Allah dan akan kembali kepada-Nya.

“Apabila kita tahu itu, maka kita tak akan campur tangan urusan Allah yang akan ambil nyawa kita suatu hari nanti,” ujarnya.

Mohamad Shukri berkata, semua lapisan perlu memainkan peranan mengesan mana-mana pihak yang berdepan kesukaran mendepani hidup pada zaman pandemik seperti sekarang.

Katanya, setiap peringkat komuniti bermula dengan imam, penggawa dan ketua kampung misalnya perlu menjalankan tanggungjawab dengan lebih agresif menawarkan bantuan.

“Tetapi bagi individu itu sendiri, kalau rasa susah dan tertekan, carilah penyelesaian iaitu dengan perbincangan. Maksudnya, perlu beritahu kawan-kawan dan orang terdekat untuk atasi masalah yang mereka sedang hadapi.

“Perlu tanamkan rasa hormat dalam diri kita iaitu keyakinan dan adab kepada Allah. Salah satunya yang diajar adalah supaya kita sebagai manusia tidak ada rasa putus asa dalam jiwa.

“Pokoknya di sini ringkas, teguhkan kesabaran dan akidah. Tetapkan keyakinan dan bersangka baiklah kepada Allah. Dalam al-Quran sudah dikatakan, dilemparkan ujian kepada kamu tetapi di hujungnya, ada khabar gembira yang sedang menanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI