fbpx

Jenayah pecah rumah turun dalam PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kes jenayah melibatkan pecah rumah menunjukkan penurunan sehingga 21.2 peratus bagi tempoh 18 Mac tahun lalu hingga semalam, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, penurunan yang dicatatkan itu adalah kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan kehadiran pasukan keselamatan dan penguat kuasa yang membuat rondaan secara berkala.

Katanya, dalam tempoh 469 hari itu, sebanyak 16,452 kes dicatatkan menurun 4,423 kes berbanding 20,875 kes bagi tempoh sama sebelumnya.

“Namun begitu, peningkatan pecah rumah berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan secara berperingkat iaitu mulai 4 Mei tahun lalu sehingga 10 Jun tahun lalu.

“Jumlah kes yang dicatatkan bagi tempoh itu ialah 1,167 kes berbanding tempoh sama sebelum PKPB iaitu 1,063 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam tempoh PKP itu juga seramai 5,518 individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dengan 3,572 individu daripada jumlah itu tiada pekerjaan tetap.

“Sehubungan itu, polis memohon masyarakat untuk bersama-sama mengekang kejadian jenayah di komuniti masing-masing.

“Masyarakat diingatkan supaya memastikan rumah sentiasa berkunci walaupun berada di dalam rumah serta sentiasa peka dengan persekitaran kejiranan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI