KOTA BHARU – Lima beradik amat berharap bapa mereka yang disahkan positif Covid-19 sejak sebulan lalu dapat sembuh seperti sedia kala dan pulang ke rumah secepat mungkin.
Mereka sudah puas berendam air mata selepas bapa, Roslan Abdul Aziz, 45, yang terpaksa ditidurkan ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) sejak lebih sebulan lalu.
Anak sulung, Muhammad Alif ,15, berkata, sebelum ini, dia bersama ibu, bapa dan empat orang adik-adiknya didapati positif Covid-19 sebelum mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah di Panji serta Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini.
Katanya, selepas seminggu, enam orang ahli keluarga telah dibenarkan pulang untuk menjalani baki tempoh kuarantin di rumah di Kampung Baru, Bachok.
“Bagaimanapun, bapa kami tidak dibenarkan keluar kerana berada dalam keadaan kritikal dan telah ditidurkan di HRPZ II. Kali terakhir kami bertemu mata pada 18 Mei lalu menerusi panggilan video.
“Ketika itu, dia sempat berpesan kepada saya agar menjaga empat lagi adik-adik. Ayah yang menghidap angin ahmar berada dalam keadaan separuh sedar, namun kini dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah ibu saudaranya di Kampung Cherang di sini hari ini.
Menurut, Muhammad Alif, ibunya, Suhaila Zainuddin, 43, sering berulang-alik ke HRPZ II untuk memantau keadaan bapa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dari luar wad.
Katanya, selain itu, ibu juga merupakan suri rumah sepenuh masa dan keadaan ketika ini menyebabkan keluarganya tiada sebarang punca pendapatan. – K! ONLINE