Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Seramai 139 guru daripada tiga sekolah yang ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Sanglang dekat sini menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Perlis, Azman Mohd. Yusof berkata, saringan tersebut dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun.
“Setakat ini, seramai 48 guru dari SK Sanglang, 76 guru SMK Sanglang dan 15 guru SJKC Chin Hun telah selesai melakukan ujian saringan sejak pagi tadi,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis juga membuat proses nyah kuman di tiga sekolah terlibat.
Ketiga-tiga sekolah berkenaan ditutup sehingga 23 Ogos ini berikutan penularan kes Covid-19 dari Kluster Sivagangga. – K! ONLINE