fbpx

KWP bincang isu kesihatan mental warga Wilayah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat zon dan sub-zon esok bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, perbincangan itu penting bagi menggerakkan tindakan segera untuk membantu mereka yang berdepan tekanan dan masalah kesihatan mental.

Beliau berkata, KWP memandang serius masalah kesihatan mental yang berlaku dalam masyarakat terutamanya di Wilayah Persekutuan pada masa ini.

“Atas kesedaran ini KWP berhasrat untuk mengenal pasti lebih awal golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan emosi.

“Seterusnya, kami juga akan menggerakkan pelbagai inisiatif dan tindakan segera melalui kerjasama semua pihak terutama pemimpin-pemimpin masyarakat setempat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, isu kesihatan mental dalam kalangan anggota masyarakat, terutama di bandar mesti ditangani segera dan secara bersama oleh kerajaan.

Annuar berkata, beliau menyeru semua pihak supaya meningkatkan kesiapsiagaan untuk secara proaktif membantu rakyat yang tertekan dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

“KWP akan menambah saluran dan program yang boleh membantu golongan berkenaan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, peruntukan RM300,000 diumumkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga akan diselaraskan dengan baik. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI