PETALING JAYA – Kira-kira 900,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada RM5,000 dan perkara itu amat membimbangkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Justeru, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor mendesak KWSP mencari kaedah bagi menambah simpanan pencarum bagi mengelakkan kesan jangka panjang kepada pencarum selepas pencen.
Tambahnya, perkara itu juga akan mewujudkan ‘krisis sosial pekerja pencen’ sekiranya ia tidak ditangani dari awal.
“MTUC akur kepada keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran simpanan pekerja dan berharap kerajaan akan bertanggungjawab ke atas pengeluaran sumber simpanan hari tua pekerja.
“Kerajaan perlu merangka pelan pemulihan simpanan dengan fokus menambah simpanan hari tua dengan sekurang-kurangnya menambah kembali atau mengantikan pengeluaran yang telah di buat dalam tempoh lima tahun akan datang,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pembentangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu ahli KWSP iaitu i-Citra.
Menurut Muhyiddin, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.- K! ONLINE