BATU PAHAT – Polis akan menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon dan beberapa lagi individu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP), baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan sehingga kini, video memaparkan aktiviti wakil rakyat itu tular dalam media sosial.
“Satu laporan polis sudah dibuat dan kertas siasatan sudah pun dibuka untuk menyiasat kejadian yang berlaku.
“Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya, pihak polis akan memanggil Ahli Parlimen berkenaan dan mereka yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan.
Pihak polis memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat tular di media sosial memaparkan wakil rakyat terbabit bersama individu lain sedang menikmati buah durian di sebuah dusun.
Perkara itu menimbulkan kemarahan netizen susulan negara kini sedang melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh yang mana segala aktiviti riadah secara terbuka adalah dilarang.-K! ONLINE