MENJADI antara lokasi pelancongan di ibu kota, Zoo Negara menempatkan pelbagai jenis haiwan yang mendapat tarikan pelawat dari dalam dan luar negara.
Bagi membolehkan haiwan yang ada di situ hidup dalam persekitaran kondusif untuk terus membesar dengan sihat, zoo berkenaan memerlukan sumber air bersih kepada semua ‘penghuninya’.
Untuk itu, Waterco yang merupakan syarikat pelopor dalam penyelesaian persekitaran air yang sihat dan selamat tampil ke hadapan membantu Zoo Negara menyediakan kemudahan tersebut.
Syarikat itu mengambil inisiatif menyediakan air bersih melalui projek Zoo Negara Water Environment menggunakan peralatan yang menjimatkan tenaga pada kos yang bersesuaian.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco, Koo Zao Cheong berkata, pihaknya akan membantu secara berterusan dengan menyediakan persekitaran air bersih dan selamat sambil memperbaiki kualiti penjagaan air di zoo tersebut.
Katanya, masih ada kawasan yang menjadi habitat haiwan di situ tidak memiliki kemudahan bekalan air bersih dan ia satu masalah yang memerlukan penyelesaian segera.
“Setiap haiwan mempunyai keperluan persekitaran air berbeza.
“Kami akan memulakan projek ini dengan tempat kurungan Harimau Malaya terlebih duhulu setelah melakukan kajian dan perbincangan teliti dengan pihak pengurusan zoo.
“Persekitaran Harimau Malaya amat memerlukan pemulihan. Selain itu, ia adalah lambang negara dan boleh dijadikan titik permulaan terbaik untuk projek pemuliharaan air ini,” jelasnya.
Setelah penelitian menyeluruh menggunakan sampel dan kurungan haiwan, kedua-dua pihak mencapai keputusan mengenai jenis produk paling sesuai untuk penjagaan kualiti air khas buat Harimau Malaya.
Waterco telah memilih produk hijau yang berkesan sambil menjimatkan tenaga supaya kos penyelenggaraan secara keseluruhannya tidak meningkat.
“Kami yakin produk ini mampu meringankan beban Zoo Negara dalam kos penjagaan. Kami ingin memastikan usaha ini memberikan hasil terbaik dan memudahkan pengendalian dan penjagaan oleh pihak pengurusan zoo.
“Proses pemasangan penapis dan pembersihan air dalam kurungan Harimau Malaya memerlukan masa lebih kurang tiga bulan. Pemantauan berterusan diperlukan bagi memastikan keberkesanan sistem penapisan tanpa menjejaskan persekitaran haiwan tersebut,” katanya.
Jelas Zao Cheong, beliau yakin selama ini Zoo Negara sememangnya sudah melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan ‘penghuni’ di situ.
Dalam hal ini, Waterco yakin dapat bekerjasama dengan Zoo Negara untuk mendapatkan keputusan terbaik melalui projek berkenaan.
Dalam pada itu, Zao Cheong menjelaskan, banyak kajian dan lawatan tapak dilakukan pihaknya untuk menilai keadaan air di Zoo Negara baru-baru ini.
Katanya, tanah di tempat itu merupakan tanah matang dan ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum kerja-kerja baik pulih dimulakan seperti saluran paip, sumber air dan penempatan penapis.
Selain itu, mereka juga perlu memahami keperluan air setiap ‘penghuninya’ kerana haiwan berlainan mempunyai persekitaran air berbeza.
Dengan memahami keperluan setiap haiwan secara terperinci, syarikat itu percaya bahawa mereka mampu menyediakan semua haiwan dengan persekitaran air yang bersih dan berkualiti.
Kerja-kerja baik pulih ini akan dijalankan secara berperingkat.
“Kami akan berusaha untuk melakukan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin, namun tidak akan terburu-buru kerana ingin memberikan hasil kerja terbaik.
“Dengan kepakaran kami dalam bidang ini, ditambah pula dengan nasihat pakar di Zoo Negara, kami yakin projek ini dapat menghasilkan manfaat yang berpanjangan kepada semua pihak terlibat,” jelasnya.