fbpx

K2

Nak jualan naik, pilih transaksi digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUSAHA produk IKS di negara ini perlu beralih ke platform e-dagang bagi membolehkan jualan barangan mereka terus mendapat tempat dan sambutan daripada pelanggan. – GAMBAR HIASAN

Oleh AFIZAN AMER

PERKEMBANGAN perniagaan online pada masa ini semakin menunjukkan peningkatan dari segi transaksi digital terutamanya ketika kerajaan sekali lagi memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini.

Ia menjadi pemangkin kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada ekonomi digital termasuk peniaga yang mempromosi jualan produk di alam siber.

Melalui data digitalisasi yang ada, ramai peniaga yang dahulunya menjalankan aktiviti di luar talian, kini menyusun semula perniagaan mengikut norma baharu dengan menceburi bisnes online selepas terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.

Dalam hal ini, kebanyakan mereka yang mengubah strategi pemasaran dan perniagaan untuk meningkatkan penjualan secara dalam talian berjaya menarik pelanggan di luar sana.

Sebanyak 45 peratus usahawan muda aktif menjual barangan di platform e-dagang dan daripada jumlah itu, seorang daripada lima individu adalah pengguna e-dagang baharu.

Kebanyakan pemilik perniagaan secara online merangkumi golongan suri rumah tangga dan usahawan pelajar bangkit untuk membantu ekonomi keluarga di sektor runcit, pertanian dan kesihatan.

Sementara itu, usahawan mikro dan nano ini mengubah strategi pengeluaran dan jenis barang mereka untuk memenuhi permintaan pasaran yang kini lebih dinamik menggunakan platform digital.

Beberapa pemilik perniagaan mula mempromosikan barangan popular ketika negara masih bergelut dengan pandemik seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Daripada pemerhatian digital yang dibuat juga menunjukkan, pendapatan rata-rata peniaga kecil yang menggunakan aplikasi e-dagang meningkat lebih daripada 160 peratus, manakala produktiviti pula melonjak sebanyak 110 peratus.

Hasil kajian ini sebenarnya sangat berguna bagi pelbagai sektor perniagaan di negara ini, terutamanya para pemilik perniagaan terbabit.

Ini kerana, ia boleh dijadikan sebagai penanda aras untuk mengambil langkah cepat dari segi penambahbaikan dalam akses internet, meningkatkan kemahiran dan literasi digital yang disokong oleh sejumlah program seperti inkubasi, pendidikan selain bekerjasama dengan pelbagai platform e-dagang serta sektor swasta lain.

Dalam hal ini, majoriti pengusaha mengakui bahawa mereka akan terus menggunakan platform digital melalui e-dagang dan media sosial kerana melihat manfaat transformasi digital sebagai keperluan untuk mengembangkan bisnes.

Dalam perkembangan berkaitan, industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini bergiat secara aktif dalam menghadapi cabaran terbesar ketika kita semua masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Tiga cabaran bagi IKS dalam tempoh dua tahun negara bergelut dengan pandemik adalah penawaran, aliran tunai dan permintaan.

Bantuan daripada kerajaan untuk beralih daripada bisnes luar talian ke dalam talian, sokongan daripada komuniti IKS dan latihan bagaimana menggunakan data amat diperlukan agar mereka terus berkembang maju.

Transformasi digital kini merupakan proses yang perlu direbut dan diberi perhatian serius oleh para pengusaha perniagaan kecil bagi memajukan bisnes mereka lebih-lebih lagi negara masih berdepan dengan pandemik.

PERMINTAAN produk menerusi jualan secara online semakin meningkat dari semasa ke semasa terutama di masa negara masih dilanda pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN

Aktiviti e-dagang dilihat sebagai sektor sokongan terbesar untuk pertumbuhan ekonomi digital negara.

Secara umumnya, peningkatan penggunaan pelbagai inovasi dan produk digital oleh masyarakat sama ada untuk membeli-belah, bekerja atau belajar secara online adalah faktor pendorong untuk menjadikan transformasi digital lebih cepat berkembang.

Oleh itu, peranan e-dagang dalam era pandemik Covid-19 juga semakin penting, terutamanya dalam membantu pemulihan ekonomi negara secara umum, selain menyokong kelestarian perniagaan kecil untuk terus ‘hidup’.

Dengan ini, transformasi ekonomi digital di negara ini melalui platform e-dagang dapat dipercepatkan dengan peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Agensi itu bertanggungjawab mempromosi kepentingan peranan e-dagang dalam menyokong sektor perniagaan baik syarikat besar atau perniagaan pada skala mikro dan nano.

Justeru, semua pemegang taruh dalam ekosistem digital seharusnya memahami perjalanan dan halangan syarikat besar dan IKS untuk menukar kaedah perniagaan mereka ke arah ekonomi digital dan bagaimana platform e-dagang dapat menyokong keperluan tersebut.

Dengan sokongan teknologi, liputan menyeluruh dan penyelesaian logistik yang holistik, sektor perniagaan seharusnya bersiap siaga untuk melaksanakan misi untuk memperkasakan perniagaan dalam melakukan transformasi digital untuk kemajuan bersama dalam ekosistem ekonomi digital masa kini.

Sememangnya aktiviti membeli-belah dalam talian meningkat dengan ketara, tetapi ia masih belum cukup untuk memotivasikan ramai pemain perniagaan beralih ke platform digital.

Justeru, pelaksanaan strategi yang lebih tepat termasuk sokongan agensi kerajaan serta platform digital e-dagang boleh memainkan peranan penting dalam hal ini.

Ia akan mendorong lebih ramai pemilik perniagaan untuk berkembang menerusi kaedah yang lebih efisien ini.

———————————————————————————————

AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI