fbpx

Empat individu ditahan terbabit Sindiket perjudian ‘Geng Ah Tai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani (dua dari kanan) dan Karunanithy (kiri) ketika sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU – Polis Sabah menahan empat individu dipercayai terlibat sindiket perjudian ‘Geng Ah Tai’.

Ia termasuklah tiga individu yang sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua individu yang ditahan melibatkan dua lelaki serta dua wanita berusia antara 23 sehingga 57 tahun.

“Semua individu terbabit dipercayai menjadi dalang kepada aktiviti perjudian haram berkenaan dan tangkapan pertama membabitkan tiga individu yang dibebaskan SPRM untuk membantu siasatan polis.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai turut terlibat sindiket sama pada pukul 2.15 petang di Taman Anugerah, Tawau Sabtu lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Turut hadir Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy.

Mengulas lanjut, Hazani menyatakan permohonan reman ke atas suspek tangkapan sudah dibenarkan sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka dan juga tindakan undang-undang pencegahan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Sementara itu, Karunanithy mengesahkan tiada tangkapan dilakukan ke atas mana-mana anggota penguatkuasa.

“SPRM hanya memberi fokus terhadap tiga individu terbabit mengikut Akta SPRM 2009 iaitu memberi sogokan kepada anggota penguatkuasa.

“Menurut laporan yang dikeluarkan 21 Jun lalu, SPRM menahan tiga individu terbabit dan sebanyak RM39,199 wang tunai dirampas selain menyita empat akaun bank berjumlah RM586,576 dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian haram,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI