Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
BENTONG – Mana-mana agensi termasuklah pasukan keselamatan di pelabuhan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang memerlukan penggunaan senjata api perlu mengemukakan permohonan kepada polis untuk disemak terlebih dahulu.
Pengarah Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, pembekalan senjata api hanya boleh dilakukan oleh agensi terbabit selepas mendapat kelulusan daripada pihak polis.
“Pembekalan ini dibuat oleh pihak agensi itu sendiri yang mana agensi berkenaan perlu mengemukakan permohononan kepada polis melalui Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) yang akan diangkat kepada kontinjen untuk di angkat kepada Bukit Aman.
“Jadi bahagian lesen akan menentukan berapa jumlah lesen dan buat masa ini saya tidak ada jumlah yang tepat,”katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Pahang, Datuk Abd. Jalil Hassan; Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Daerah, Superintenden Yusof Unis dan Pegawai Daerah, Datuk Mohd. Zulkifli Hashim.
Baru-baru ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia ada membincangkan beberapa isu di pelabuhan termasuk kesediaan PDRM memberi kerjasama dari sudut keperluan senjata api.
Katanya, langkah itu dibuat selepas mendengar aduan ramai penguatkuasa di pelabuhan diugut dan digertak oleh gengster sehingga ada antaranya diacukan senjata api.
Dalam pada itu, Abd. Jalil berkata, pihak polis Pahang ada menerima permohonan daripada pihak keselamatan di Pelabuhan Kuantan yang memohong penggunaan senjata api.
Beliau berkata, permohonan itu sedang diteliti berdasarkan kepada keperluan dan jumlah senjata api yang diperlukan.
“Sebelum ini sudah ada (lesen senjata api) bagi polis bantuan tetapi dia perlu lebih dan kita hendak angkat ke Bukit Aman,” katanya. – K! ONLINE