fbpx

Harapan makin tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bahagian bangunan apartmen 12 tingkat di Pantai Miami, Florida yang runtuh 24 Jun lalu. – AFP

MIAMI, Florida – Harapan untuk menemui mangsa terselamat dalam tragedi bangunan apartmen runtuh di Miami pada Khamis lalu kini semakin tipis, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Ini berikutan tidak banyak kemajuan dicapai menerusi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Setakat ini, keluarga kepada lebih 100 mangsa yang masih hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan pangsapuri 12 tingkat di Surfside, Florida itu masih berharap untuk menerima berita menggembirakan.

Jumlah korban pula meningkat kepada sembilan orang kelmarin dengan identiti empat lagi mangsa dikenal pasti, demikian menurut Datuk Bandar Miami-Dade Daniella Levine Cava dalam sidang akhbar.

Usaha mencari dan menyelamat mengalami kesukaran pada mulanya apabila kebakaran kecil tercetus di tapak nahas dengan beberapa bangunan di sekeliling turut berpotensi runtuh.

Kebakaran dan asap berjaya dikawal kelmarin, manakala cuaca cerah diharap mampu memberikan perkembangan positif dalam proses mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

ANGGOTA penyelamat berusaha mencari mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan apartmen 12 tingkat yang roboh pada Khamis lalu. – CNN

Pasukan penyelamat telah menggali laluan parit utama sepanjang 38 meter dengan kedalaman 12 meter untuk membantu usaha pencarian.

“Parit ini sangat penting dalam membantu kejayaan dan perkembangan baharu usaha pencarian.

“Kami menggali parit sepanjang malam dan hasilnya, kami berjaya menemui empat mangsa baharu di bawah runtuhan beserta mayat lain,” kata Cava.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miami-Dade, Alan Cominsky berkata, pihaknya sedang mengerahkan 400 anggota dalam usaha mencari mangsa-mangsa tertimbus.

“Kami saling membahagikan tugasan agar tidak berkumpul di sebuah lokasi beramai-ramai. Situasi mencari mangsa dalam nahas seperti ini memerlukan pelan strategik.

“Setiap kumpulan ditugaskan dengan komponen berbeza. Kami perlukan ruang agar tidak mengganggu struktur runtuhan yang sensitif,” katanya.

Tambah beliau, hasil penca­rian mangsa menerusi laluan parit yang digali itu sangat mengerikan.Mereka banyak cebisan badan manusia.

“Kami tidak menemui lohong kosong yang diharap melindungi mangsa-mangsa yang mungkin selamat daripada tertimbus.

“Keadaan di bawah sana sangat menakutkan dan kami bimbang, ia memberi petunjuk kurang baik tentang peluang untuk mangsa terselamat,” jelas Cominsky.

Sementara itu, sebuah agensi persekutuan yang menyiasat kemusnahan Pusat Dagangan Dunia dalam serangan pengganas pada 11 September 2001 berada di Florida untuk mengesahkan sama ada akan mengambil alih siasatan insiden Menara Champlain yang runtuh minggu lalu.

Akhbar Miami Herald melaporkan, saintis dan jurutera dari Institut Standard dan Teknologi Kebangsaan (NIST) itu tiba di lokasi runtuhan Jumaat lalu dan mula mengumpulkan data.

Jurucakap agensi itu, Jennifer Huergo berkata, NIST berada di bawah Jabatan Perdagangan dan ditugaskan untuk menyiasat bencana yang sama ada mengakibatkan ‘kehilangan nyawa besar’ atau berpotensi menyebabkan kemusnahan seperti itu.

“Pakar-pakar NIST akan be­kerja bersama dengan pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan untuk mengumpulkan dan menyimpan bahan yang mungkin dapat membantu mengenal pasti punca bangunan itu runtuh,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan.

Sebahagian bangunan kondominium di Surfside, Pantai Miami itu runtuh Khamis lalu dan menyebabkan sembilan orang terbunuh setakat ini, manakala nasib lebih 150 penghuni lain belum diketahui. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI