VIDEO dengan latar suasana desa yang menghijau, bunyian kicauan burung dan deruan air sungai mengalir membuatkan ramai yang terbuai dan tenang saat menontonnya.
Tambah asyik apabila melihat kelincahan aksi seorang gadis jelita di desa tersebut yang mahir berkebun, memasak dan bertukang seperti membuat perabot daripada buluh serta produk kecantikan.
Sesekali dirinya kelihatan ayu bak puteri Cina zaman silam, dalam video yang lain pula dirinya seperti seorang pendekar desa yang gagah mengendalikan parang memotong buluh di rimba atau memanjat pokok dengan penuh ketangkasan.
Itulah antara keunikan yang dipaparkan gadis desa. Li Jiajia atau lebih dikenali sebagai Li Ziqi yang merupakan seorang selebriti internet dari China dan pemegang Rekod Dunia Guinness untuk kategori saluran bahasa Cina paling banyak subscribers di YouTube iaitu sebanyak 15.6 juta.
Memang hebat apabila video-video di saluran Youtube atas nama Liziqi itu telah ditontoni keseluruhan 2.3 bilion tontonan.
Ikon media sosial itu menjalani kehidupan desa di pedalaman Mianyang di wilayah Sichuan, China. Ziqi, 31, mempunyai kemahiran membuat kraf tradisi selain masakan autentik masyarakat di barat daya China.
Salah satu video yang dikongsikannya ialah membuat acar lobak dan daging untuk dimakan ketika satu perayaan berdasarkan kalendar tradisional Cina.
Video-videonya memberi inspirasi kepada ramai orang bahkan sebahagian besar pengikutnya adalah dalam kalangan masyarakat bandar.
Li Ziqi turut bergelar usahawan dan mempunyai produk makanan serta pakaian jenama sendiri.
Kerana populariti sebagai selebriti internet dengan jutaan pengikut di peringkat antarabangsa dan kejayaan cemerlangnya dalam bisnes, ada laporan mengatakan Li Ziqi meraih pendapatan lebih AS$24 juta (RM99 juta) setahun. Bagaimanapun gadis itu menafikan laporan tersebut.
Di Mianyang iaitu kampung halamannya, selebriti internet itu tinggal bersama neneknya.
“Masyarakat sekarang ramai yang hidup tertekan, mereka menghadapi banyak tekanan dalam hidup dan di tempat kerja. Saya mahu mereka berasa relaks dan menikmati pengalaman menarik agar keluar daripada kemurungan dan stres,” katanya.
Ziqi mula kembali ke kampungnya kira-kira sembilan tahun lalu setelah beberapa tahun merantau di bandar besar di China untuk bekerja. Kepulangannya ke kampung adalah untuk menjaga neneknya yang sakit.
Ziqi mempunyai kenangan masa kecil yang sangat sukar. Selepas orang tuanya bercerai, Ziqi tinggal bersama bapa dan ketika usianya enam tahun, dia bergelar anak yatim ekoran bapanya meninggal dunia.
Apabila neneknya mendapat tahu ibu tiri sering mendera Ziqi, neneknya membawa pulang cucunya itu ke kampung.
Di kampung, Ziqi belajar membuat kraf dan sajian asli Cina daripada datuknya.
Ketika dia berusia 11 tahun, datuknya meninggal dunia dan Ziqi berhenti sekolah untuk mencari pekerjaan di kota.
Hidup di bandar seorang diri dengan pendapatan cuma AS$47 (RM196) hasil bekerja sebagai pelayan kedai makan bukanlah sesuatu yang mudah.
Pada tahun 2012, neneknya yang sudah tua menderita banyak penyakit, maka Ziqi mengambil keputusan untuk pulang ke desa selain mengusahakan perniagaan menjual pakaian secara online bagi menyara kehidupan.
Ziqi mula menyiarkan video pendek mengenai kehidupannya di desa pada tahun 2015 di platform perkongsian video Meipai. Pada musim bunga tahun 2016, Li memuat naik video membuat wain anggur dan menjadi tular.
Pada tahun 2017, dia mula menyertai platform YouTube dengan menyiarkan video Membuat Gaun Daripada Kulit Anggur sehingga menerima jumlah tontonan sebanyak 20 juta.
Gaya hidupnya di desa yang menenangkan telah memikat hati berjuta-berjuta peminat bukan sahaja di China tetapi juga di luar negara.
Popularitinya yang berkembang ke luar negara turut mengundang beberapa kritikan yang mengatakan gambaran diberikan tidak realistik dengan kehidupan luar bandar China.
Pun begitu, ia tidak melunturkan semangatnya untuk terus menghasilkan video-video hebat, malah kini wanita itu menubuhkan pasukan penerbitannya sendiri.
“Saya tetap akan berperanan sebagai pengarah untuk kesemua video itu.
“Saya akan memberi idea untuk merakam video berkaitan apa jua perkara dan bagaimana ia hendak digambarkan,” katanya ketika ditemu bual oleh portal Goldthread.
Terdahulu pada tahun 2019, Ziqi pernah memuat naik video belakang tabir untuk menunjukkan cara bagaimana dia merakam video-video dan mengalami lebam kerana proses itu dibuat sendiri dari awal hingga akhir.
“Saya tidak ingin meminta simpati tetapi saya mahu mereka lihat bagaimana kesukaran untuk menghasilkannya dari mula hingga selesai,” tuturnya.
Ziqi mempunyai alasan kukuh mengapa dia ingin menghasilkan video-video di kampung untuk tatapan umum.
“Saya hanya mahu orang bandar tahu dari mana datangnya sumber makanan mereka. Seorang kawan yang merupakan guru memberitahu saya, murid-muridnya menyangka yang nasi tumbuh di atas pokok,” ceritanya.
Oleh itu, Ziqi turut menjadi video sebagai medium memberi pengetahuan kepada anak-anak di bandar mengenai bagaimana makanan mereka terhasil.
Media tempat turut berseloroh bahawa kandungan video wanita itu jauh lebih baik daripada propaganda pemerintah.
“Puluhan jabatan kerajaan telah menganjurkan banyak projek berbilion yuan termasuk menghabiskan satu dekad untuk tahu bagaimana hendak mempromosikan budaya Cina tetapi seorang gadis boleh melakukannya dengan lebih baik,” tulis wartawan South China Morning Post, Chauncey Jung di Twitter.
Penulis New York Times, Tejal Rao berkata, dalam dunia terasing, fantasi D.I.Y (kraf buatan sendiri) oleh bintang Youtube China itu adalah mimpi yang membawa jalan keluar daripada kemurungan dan belajar untuk lebih berdikari
Sementara itu, seorang pengguna Youtube meninggalkan komen di video Ziqi dengan berkata, gadis ini memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang untuk kembali kepada ‘akar’ mereka dan hidup bersama bumi.
“Pertama kali saya melihat wanita yang mempunyai pelbagai kemahiran meliputi kejuruteraan, landskap dan memasak,” kata seorang lagi netizen.
Video yang dihasilkan Ziqi sangat unik dengan sinematografi yang menenangkan dan dia mengambil masa antara sebulan hingga setahun untuk menghasilkan karya.
“Ziqi juga memberi kefahaman kepada orang ramai untuk memahami makna keindahan serta mendalami budaya China,” ujar wakil Rekod Dunia Guinness.