KUALA PILAH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan hari ini memasang satu unit perangkap untuk menangkap seekor harimau kumbang yang berlegar di sekitar kebun kelapa sawit, Kampung Gamin Hilir.
Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, tindakan berkenaan diambil selepas didapati aduan penduduk berkenaan ternakan dibaham harimau kumbang berasas serta bagi tujuan keselamatan penduduk setempat.
Menurutnya, perangkap dipasang di kebun kelapa sawit yang dipercayai menjadi laluan harimau berkenaan yang berkemungkinan datangnya dari hutan berdekatan iaitu Hutan Simpan Senaling Inas.
“Perangkap berkenaan akan menggunakan anak kambing sebagai umpan yang akan diuruskan oleh penduduk kampung. Selain itu, kita turut memasang ‘camera trap’ (kamera perangkap) bagi memantau sekiranya terdapat pergerakan harimau kumbang berhampiran lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Wan Mat berkata, walaupun perangkap telah dipasang, pihaknya akan melaksanakan pemantauan berterusan demi keselamatan penduduk.
Menurutnya, penduduk juga diminta untuk segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak harimau kumbang berkenaan untuk tindakan lanjut.
Hari ini Kosmo! melaporkan penduduk di Kampung Gamin Hilir, di sini, gempar apabila menemui bangkai binatang yang mati di kawasan kebun kelapa sawit dipercayai dibaham harimau kumbang. -K! ONLINE