PETALING JAYA – Penceramah popular, Ebit Lew meluangkan masanya hari ini dengan menziarahi penduduk yang kesusahan serta memerlukan bantuan di Gaza, Palestin.
Menurutnya, selain itu, dia turut sempat membeli barangan seperti makanan dan mainan kanak-kanak.
“Bila berbual saya tanya nama. Semua beritahu nama masing-masing. Seorang ni tak jawab-jawab, rupanya tak dengar dah lama. Sakit. Saya tanya ada bawa jumpa doktor. Ubat hanya ada di Mesir dan selepas itu perlu pembedahan di Tebing Barat.
“Saya terus ambil nama jenis ubat tu. Nanti akan minta pasukan Malaysia yang akan masuk dalam masa terdekat bawa ubat tu. Comel sangat adik tu. Maknya sebak menangis bila dengar ubat tu akan dapat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya hari ini.
Pada masa sama, Ebit turut menyatakan rasa sebak apabila mengenangkan bahawa anak kecil hanya mahu berlari-lari dan ingin hidup tenang serta boleh majukan diri.
“Sukar peluang pekerjaan. Dibom sampai tiga kali. Hilang seorang demi seorang dalam hidup. Saya beri duit belanja dan hadiah buat keluarga yang diziarahi. Tak berhenti mereka doakan untuk kami.
“Penduduk Gaza lembut dan baik sangat. Sifat dan akhlak mereka benar-benar terpuji. Terima kasih semua yang bersama dan semua rakyat Malaysia. Ini semua usaha dan doa anda,” katanya. – K! ONLINE