PETALING JAYA – Sebanyak empat kawasan di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 30 Jun hingga 13 Julai ini.
Kawasan berkenaan ialah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Gamuda Gardens, Kundang Jaya, Rawang; Taman Murni, Sepang, Pangsapuri Sri Ayu; Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak lapan kawasan di Sabah turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama.
“Kawasan terlibat termasuk Kampung Linukaan, Kota Marudu; Kampung Timbagan Matunggong, Kampung Perpaduan Gumpa dan Kampung Perpaduan di Kudat.
“Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, Tawau; Kuarters Kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur Keningau dan Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, Kuching dan Kuarters Pekerja Ladang Mukah 1 di Sarawak turut dikenakan PKPD dari 30 Jun hingga 13 Julai 2021.
Menurut beliau, turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama adalah Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang. – K! ONLINE