LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate mencabar barisan pemainnya agar mengukir sejarah baharu pasukan itu ke atas gergasi Eropah, Jerman pada pusingan 16 terbaik Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi esok.
Southgate, 50, mahu The Three Lions memadam ‘sejarah hitam’ mereka yang sering diungkit setiap kali bertemu Jerman disebabkan kekalahan 5-6 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 sewaktu separuh akhir Euro 1996.
Lebih malang, Southgate adalah pemain yang gagal menjaringkan sepakan penalti ketika penentuan tersebut sekali gus menghadiahkan kemenangan buat Jerman dan seterusnya muncul juara edisi 1996 itu menewaskan Republik Czech di final.
“Ia sudah tidak relevan untuk mengungkit kisah perlawanan antara England dan Jerman sewaktu Euro 1996.
“Pasukan sekarang telah berjaya mencipta sejarah mereka tersendiri dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Sekarang adalah peluang terbaik buat pemain-pemain untuk mencipta kejayaan yang lebih gemilang daripada skuad 1996,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho bertekad akan membuktikan kemampuannya dan membanggakan Southgate sekiranya disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Jerman.
Sancho, 21, terdesak untuk mendapat lebih banyak masa beraksi selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menang 1-0 ke atas Republik Czech hasil jaringan tunggal daripada Raheem Sterling.
“Sudah tentu saya gembira kerana akhirnya merasai peluang bermain. Saya harap dapat diberi peluang untuk membuktikan kemampuan saya kepada semua.
“Saya ada kelebihan kerana mengenali ramai pemain Jerman selepas setiap minggu bermain menentang mereka,” jelasnya.
Bagaimanapun, Sancho perlu bersaing dengan nama-nama lain seperti Sterling, Phil Foden, Jack Grealish, Bukayo Saka dan Marcus Rashford untuk meraih tempatnya.
Jika berjaya menewaskan Jerman, England akan bertemu pemenang antara Sweden atau Ukraine dalam peringkat suku akhir di Stadio Olimpico, Rom pada 3 Julai depan. – AGENSI