SEVILLE – Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos mengakui kekalahan 0-1 pasukannya kepada Belgium pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik awal pagi semalam adalah sebagai ‘tidak adil’ dan kejam.
Rembatan pemain Belgium, Thorgan Hazard pada minit ke-42 menjadi pemisah kedua-dua pasukan sekali gus menyebabkan Portugal terpaksa melupakan hasrat mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
Percubaan yang menghasilkan jaringan itu adalah satu-satunya percubaan tepat dimiliki daripada enam percubaaan oleh Belgium, manakala Portugal berjaya memperoleh lima percubaan tepat dan 24 percubaan lain.
“Keputusan ini adalah tidak adil. Mereka memperoleh enam percubaan dan hanya satu percubaan tepat yang menghasilkan gol. Kami mendapat peluang sebanyak 29 peluang tetapi satu pun tidak menemui sasaran.
“Ada sebahagian daripada pemain saya menangis di bilik persalinan kerana kecewa dengan keputusan ini.
“Tidak ada isu mengenai (Cristiano) Ronaldo. Dia meledak lima gol dalam kejohanan ini. Dia gagal untuk meledak hari ini tetapi anda tidak boleh nafikan bahawa dia adalah kapten yang baik dan sentiasa cuba untuk mengubah situasi,” katanya.
Biarpun mengakui gembira apabila menyaksikan Ronaldo berjaya meledak lima gol pada saingan kali ini, Santos mengakui bahawa dia akan lebih puas hati jika dapat menyaksikan Portugal menewaskan Belgium pada aksi berkenaan dan meneruskan kemaraan.
Ronaldo pula tidak dapat menyembunyikan kekecewaan sebaik pengadil meniupkan wisel penamat kerana Euro 2020 mungkin menjadi kejohanan antarabangsa terakhir buat dirinya yang kini sudah berusia 36 tahun. – AGENSI