PETALING JAYA – Kerajaan akan terus memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan melaksanakan beberapa inisiatif.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi mempercepat jadual pelaksanaan PICK, sejumlah RM400 juta diperuntuk untuk menambah bekalan vaksin negara.
Ini bermakna, menurut beliau, jumlah bekalan vaksin yang ditempah kerajaan adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.
“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.
“Anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang disiarkan secara langsung hari ini.
Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kadar pemberian vaksin harian, kerajaan bersetuju untuk membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu.
Bukan itu sahaja, beliau memberitahu, kerajaan juga akan menaik taraf PPV sedia ada, melaksanakan PPV secara pandu lalu, PPV bergerak dan program ‘Outreach Home to Home’ dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM200 juta. – K! ONLINE