PETALING JAYA – Padah merosakkan grill pintu rumah jirannya kerana berang hutang RM30 tidak dibayar, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret M.Barath menjatuhkan hukuman denda itu terhadap T.M Saifullah Ibrahim, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya
Sekiranya denda itu gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama lima hari dan dia membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati melakukan khianat dengan merosakkan pintu grill rumah milik S.Kathiravan, 46, dengan nilai kerugian sebanyak RM139.
Kesalahan dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Jalan SS 1/39, Seksyen 22 di sini antara 7 hingga 7.30 malam pada 21 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar mahkamah dapat mengurangkan hukuman kerana perlu menyara ibu bapa.
“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya juga sudah setahun tidak bekerja,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mengikut fakta kes, pada 20 Jun lalu semasa pengadu berada di rumah, berlaku perselisihan faham antara mereka, kerana pengadu berhutang dengan tertuduh sebanyak RM30.
Keesokkan harinya pada 21 Jun, selepas isteri pengadu pulang ke rumah, dia mendapati grill pintu rumahnya telah rosak dan mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh.
Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh mengaku merosakkan grill pintu itu. -K!ONLINE