TOKYO – Kerajaan Jepun baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan konsep bekerja empat hari seminggu kepada semua majikan di negara itu, lapor The Indian Express, baru-baru ini.
Menerusi buku panduan ekonomi tahunannya yang disiarkan, konsep kerja empat hari seminggu itu adalah untuk mengimbangi kualiti yang dinikmati ketika bekerja dan kehidupan peribadi.
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga berkata, perancangan ini dapat meningkatkan kualiti kerja seseorang apabila mereka mempunya masa untuk bersama keluarga serta mempelajari skil baharu.
“Konsep kerja empat hari seminggu boleh memberikan banyak faedah termasuk mengurangkan tekanan untuk berhenti kerja, membuka peluang sambung belajar dan memberi kelapangan seseorang melakukan pekerjaan sampingan,” tulis laporan itu.
Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC), pekerja Jepun dikenali sebagai kumpulan masyarakat yang terlalu kuat bekerja.
Banyak laporan kematian akibat terlebih bebanan kerja atau ‘karoshi’ sejak 1970-an termasuk tekanan perasaan dan hal-hal yang berkaitan. – Agensi