HARRISBURG, Pennsylvania – Sekumpulan ahli astronomi mengesan objek misteri selebar 99 kilometer (km) yang dalam perjalanan menuju ke sistem suria sebagai komet, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Objek asing itu diklasifikasikan sebagai komet pada Rabu lalu, seminggu selepas pertama kali dilihat sebagai titik kecil yang bergerak dalam gambar balai dirakam menggunakan peralatan Dark Energy Camera di Balai Cerap Cerro Tololo Inter-American, Chile.
Komet itu sangat besar sehingga pakar-pakar astronomi sebelum ini menganggap ia adalah sebuah planet kecil.
Objek angkasa lepas itu sekarang akan dikenali sebagai Komet C / 2014 UN271 atau Bernardinelli-Bernstein sempena nama individu yang menemuinya iaitu pelajar siswazah dari Universiti Pennsylvania, Pedro Bernardinelli dan ahli astronomi, Gary Bernstein.
Jarak Komet C dianggarkan paling jauh di sistem suria sekitar setengah tahun cahaya dari Matahari.
Komet jangka masa panjang mengambil masa lebih 200 tahun untuk melengkapkan orbit mengelilingi Matahari tetapi komet ini memerlukan masa 600,000 tahun untuk berbuat demikian.
“Kami mempunyai masa selama 20 tahun untuk mempelajarinya,” kata ahli astronomi di Pusat Astrofizik Harvard & Smithsonian dan di Pusat Planet Minor, Peter Vereš, yang mengenal pasti dan mengira orbit untuk komet baharu, planet kecil dan objek-objek berbatu.
Komet itu mungkin berasal dari Awan Oort Cloud iaitu sebuah medan dipenuhi objek berbatu yang berais dan mengelilingi sistem suria seperti cengkerang rapuh. – Agensi